41 lagi terbunuh diserang Israel

GAZA – Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan seramai 41 orang terbunuh dalam operasi ketenteraan oleh tentera Israel semalam, dengan lebih separuh daripada mangsa dikatakan sedang menunggu bantuan ketika diserang.

Pegawai Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mohammad al-Mughayyir, berkata seramai 41 orang syahid akibat pengeboman berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza, termasuk 23 yang sedang menunggu bantuan.

Katanya, Hospital Al-Awda di Gaza Tengah menerima lapan mayat dan 125 mangsa yang cedera selepas serangan dron Israel menyasarkan orang ramai yang berkumpul berhampiran pusat agihan bantuan di koridor Netzarim.

Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza pula menerima 11 mayat susulan satu lagi serangan ke atas orang awam yang mencari bantuan manakala empat lagi dibawa ke Hospital Al-Aqsa di Gaza Tengah dan Hospital Nasser di bahagian selatan.

Di samping itu, 18 orang lagi terbunuh dalam pelbagai serangan oleh tentera Israel di utara dan selatan wilayah itu, termasuk tujuh orang di Bandar Gaza.

Dilaporkan, sejak Gaza Humanitarian Foundation (GHF) iaitu sebuah organisasi disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula beroperasi pada akhir Mei, puluhan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat agihan.

GHF, yang dikatakan sebagai inisiatif swasta dengan pembiayaan yang tidak jelas, mula beroperasi pada 26 Mei selepas Israel memutuskan semua bekalan ke Gaza selama lebih dua bulan, suatu tindakan yang mencetuskan kecaman global dan amaran mengenai ancaman kebuluran.

Semenanjung Gaza terus mengalami kemusnahan selepas lebih 20 bulan dilanda perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, dengan keadaan di lapangan semakin meruncing.

Menurut sumber perubatan, Hospital Nasser antara satu daripada kemudahan kesihatan terakhir yang masih sebahagian beroperasi, turut disasarkan dalam serangan terkini Israel.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment