Tidak wajar cukai rakyat jana pendapatan

KUALA LUMPUR 13 Jun – Kerajaan tidak sepatutnya mengambil jalan mudah ‘buat duit’ atau menjana pendapatan negara dengan mengenakan lebih banyak cukai kepada rakyat termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengerusi Biro Ekonomi Bumiputera Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, SST yang dikenakan hari ini tidak memberi pulangan setimpal, malah membebankan rakyat tanpa impak sebenar kepada pertumbuhan ekonomi.

Katanya ketika kerajaan sepatutnya menjana pendapatan melalui pembaharuan ekonomi, pelaburan strategik, dan pengurusan aset negara yang lebih cekap, mereka memilih jalan mudah mengenakan lebih banyak cukai kepada rakyat.

“Ini bukan strategi ekonomi, ini strategi kelemahan terselindung di sebalik istilah “pengukuhan fiskal”.

“Sebuah kerajaan yang benar-benar dominan ialah kerajaan yang mencipta kekayaan, bukan mencaras hasil rakyat, dengan mengorek poket rakyat sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan langkah kerajaan Madani mulai 1 Julai melaksanakan semakan semula dan memperluaskan skop SST yang didakwa Putra sebagai langkah menjadikan rakyat sumber “penyelesaian masalah kewangan negara.

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican sebaliknya berkata, peluasan SST bakal memberi manfaat kepada 5.4 juta isi rumah B40 dan M40 di mana bantuan kewangan seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dapat ditingkatkan.

Peluasan SST itu katanya seperti dilaporkan FMT bertujuan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, mengurus kewangan negara dengan baik dan menyediakan dana tambahan untuk menghadapi cabran ekonomi global.

Dalam pada itu, Dr. Mohamad Izwan yang juga Anggota Dewan Tertinggi Putra berkata kebergantungan kepada pelaburan asing tanpa mengukuhkan pelaburan tempatan dan kuasa beli rakyat memperlihatkan ketidakstabilan struktur ekonomi negara.

“Tiba masanya kerajaan menghentikan pendekatan lama dan bangkit bina pendapatan melalui hasil negara sebenar, bukan melalui cukai demi cukai.

Putra merasakan Kerajaan Madani mengikut telunjuk IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Rakyat terus tertindas dan ditekan sehingga kos sara hidup meningkat tanpa kasihan belas kepada rakyat miskin,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan cuba menyedapkan langkah ini dengan istilah seperti “pelaksanaan bersasar” dan “tidak bebankan rakyat terbanyak”, realitinya jelas bahawa lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai.

Katanya, ini adalah cara halus untuk meningkatkan kutipan hasil tanpa membetulkan akar masalah iaitu ketirisan, pembaziran dan pengurusan kewangan yang lemah dalam pentadbiran.

“Janji bahawa barangan asas dikecualikan juga tidak memberi jaminan kukuh kerana dalam realiti harian, barangan dan perkhidmatan “bukan asas” juga digunakan oleh rakyat biasa. Akhirnya, beban tetap jatuh ke atas pengguna,” katanya.

Beliau mendakwa dalam keadaan kos sara hidup yang sudah menekan, langkah ini hanya menambah luka yang sedia ada.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment