KUALA LUMPUR 13 Jun – Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, tiada keperluan mengambil kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung laporan polis yang dibuat oleh Muhammed Yusoff Rawther pada 12 September tahun lalu.
Katanya , laporan tersebut disiasat selari dengan dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan penemuan dadah dan pistol.
“Tiada keperluan untuk mengambil kenyataan Perdana Menteri dalam kes tersebut memandangkan tindakan itu telah diambil ketika aduan dibuat oleh Muhammed Yusoff di peringkat awal.
“Pada peringkat itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan cadangan pertuduhan untuk kedua-dua kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin berkata, PDRM juga berpuas hati bahawa setakat keterangan yang ada pada masa itu adalah mencukupi untuk menuduh Yusoff tanpa memanggil mana-mana pihak untuk melengkapkan siasatan.
Menurutnya, keputusan untuk pertuduhan dilaksanakan selaras dengan Peruntukan 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang diputuskan oleh AGC.
Berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Muhammed Yusoff, PDRM menghormati pandangan dikemukakan oleh semua pihak.
“Pandangan tersebut mencerminkan satu hasrat murni untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara terus menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia,” jelasnya.
Justeru, Razarudin berkata, PDRM masih menunggu dan akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan tersebut untuk melihat sekiranya terdapat kelompangan dan kelemahan ketika siasatan dijalankan.
PDRM katanya bersedia menambah baik melalui penilaian dalaman dan semakan semula prosesur operasi standard (SOP) penyiasatan.
“Setiap laporan polis yang dilaporkan akan disiasat dengan adil dan tanpa prejudis oleh PDRM walaupun melibatkan suspek berprofil tinggi,” jelasnya.
Semalam bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie Muhammed Yusoff, 32, terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut diakhir kes pendakwaan.
Terdahulu, pasukan peguam yang mewakili Muhammed Yusoff meminta PDRM sama ada mengemas kini laporan yang dibuatnya dalam tempoh seminggu atau menghadapi tindakan undang-undang.
Muhammed Yusoff membuat laporan polis tahun lalu bagi menafikan penglibatannya dalam pemilikan dadah dan pistol atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Nnnn