TEHRAN – Beberapa pemimpin kanan Iran, termasuk Ketua Turus Angkatan Tentera dan saintis nuklear negara itu, dilaporkan terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan Israel awal pagi Jumaat.
Menurut laporan media antarabangsa, dua saintis nuklear terkemuka – Mohammad Mehdi Tehranchi dan Fereydoun Abbasi turut terkorban di samping Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami.
Salami dikatakan terbunuh dalam satu serangan udara di ibu negara Iran pada awal pagi Jumaat.
Pada masa sama, media rasmi Iran, IRNA mengesahkan kematian orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak akibat serangan ke atas kawasan perumahan di Tehran.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan oleh pihak berkuasa Iran atau Israel berhubung jumlah kematian secara rasmi.
Israel juga masih belum mengeluarkan kenyataan terbuka berkenaan laporan kematian pemimpin-pemimpin kanan Iran tersebut.
