Henti pekerja Petronas tidak berperikemanusiaan.

SEPANG 12 Jun – Cadangan memberhentikan 5,000 pekerja Petroliam Nasional Bhd (Petronas) adalah satu perkembangan yang mengejutkan dan disifatkan sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata, walaupun mereka hanyalah pekerja berstatus kontrak, kebanyakan daripada mereka telah lama berkhidmat kepada syarikat dan dalam masa sama perlu menyara keluarga.

“Pemberhentian secara beramai-ramai tanpa diberikan peluang latihan tertentu untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru adalah wajar pemberhentian mereka dibuat secara berperingkat selepas mereka dilatih termasuk latihan keusahawan dan bantuan modal untuk mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran.

“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan Bumiputera  seharusnya digunakan untuk menolong mereka berdikari dan kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu ini,” kata Presiden Bersatu itu.

Bekas Perdana Menteri itu tidak menafikan Petronas sedang berhadapan dengan cabaran yang besar.

“Pada tahun lalu, Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM55.1 bilion, iaitu penurunan sebanyak 32 peratus berbanding RM80. 7 bilion pada tahun sebelumnya.

“Dalam menghadapi cabaran global termasuk kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, Petronas memerlukan pelan jangka panjang bagi memastikan kelestarian serta daya saing” katanya.

Pada masa yang sama, kata Muhyiddin, pertikaian antara Petronas dan Petros berhubung hak pengedaran gas di Sarawak bukan sahaja menjejaskan pendapatan Petronas, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gas di negara ini.

Menurut Muhyiddin, akhbar The Edge pada 2 Jun lalu, melaporkan beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025, antaranya disebabkan pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaiannya dengan Petros.

“Sekiranya ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya berhadapan keadaan tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang dianggarkan 70,000 orang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas,” katanya.

Oleh itu, sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan Petronas dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi kerajaan.

Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya lebih berhemah dalam menggunakan dana daripada Petronas dalam keadaan hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih lemah sehingga menjejaskan aliran tunai Petronas sendiri.

“Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk membentangkan pelan kelesatarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment