Semua kaum dapat diskaun beli hartanah

BAGAN – Semua pembeli akan diberi diskaun pembelian hartanah di negeri ini selaras prinsip keadilan sosial, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow,

Beliau berkata, kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas berhubung langkah intervensi pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah siap tidak terjual.

Katanya, sebahagian pandangan diterima dan dikemukakan menyatakan diskaun berkaitan sepatutnya ditawarkan juga kepada semua pembeli bagi merangsang semula sektor hartanah terutama penjualan hartanah atau unit tidak terjual.

“Jadi, saya mengarahkan Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S Sundarajoo memperhalusi polisi berkenaan bersama-sama pihak pemaju bagi memanjangkan pemberian diskaun kepada semua pembeli, supaya ia lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua masyarakat.

Selain itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri juga akan meneliti perkara ini dan membuat keputusan sewajarnya demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan insentif diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial menerusi dasar baharu, Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif Madani (MOC).

Sundarajoo dilaporkan berkata, insentif itu berkuat kuasa 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2026, khusus kepada golongan India Muslim yang berminat memiliki hartanah di negeri ini.

Bagaimanapun, pelbagai maklum balas diterima berhubung pengenalan insentif itu termasuk saranan untuk menyemak semula perkara berkenaan.

Related posts

Leave a Comment