KUALA LUMPUR – Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza tidak dikenakan sebarang sekatan pergerakan sebaliknya dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Fahmi Reza atau nama penuhnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin diletakkan di bawah senarai itu berikutan siasatan kes yang masih dijalankan oleh pihak polis.
“Sehubungan itu, PDRM ingin menjelaskan tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi Reza pada masa ini.
Senarai pemantauan tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya sebahagian daripada prosedur pemantauan lazim yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara semalam menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemaskan prosedur sedia ada.
“PDRM kekal komited dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak setiap rakyat Malaysia.
“Individu berkenaan bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk negara seperti biasa tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan undang-undang berkaitan,” katanya.
Semalam, Fahmi Reza dalam satu hantaran di media sosial mendakwa dirinya disenarai hitam daripada keluar negara selepas dia dihalang daripada berlepas ke Singapura.
Fahmi Reza dilaporkan berkata, dirinya tidak dibenarkan keluar negara atas arahan Bukit Aman dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan ke atas aktivis itu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, berkata Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
“Polis Diraja Malaysia perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini. Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan ini dengan sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Nnnn
