70 peratus kematian wanita,kanak-kanak

GENEVA – Hampir 70 peratus kematian yang disahkan dalam peperangan di Gaza ialah wanita dan kanak-kanak, demikian menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR).

Justeru agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengecam apa yang disebut sebagai pelanggaran sistematik terhadap prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sejak bermulanya perang antara tentera Israel dan pejuang Hamas, PBB hanya mengira kematian yang dapat mereka sahkan melalui tiga sumber, dan pengiraan masih berterusan.

Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Ajith Sunghay, memberitahu wartawan dalam satu taklimat di Geneva bahawa mangsa yang dilaporkan disahkan melalui jiran, ahli keluarga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, rekod hospital atau kakitangan PBB di lapangan.

Jumlah mangsa yang disahkan sebanyak 8,119 adalah jauh lebih rendah daripada angka lebih 43,000 kematian yang diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan Palestin bagi perang yang berlarutan selama 13 bulan.

Namun, pecahan umur dan jantina mangsa yang disahkan oleh PBB menyokong dakwaan Palestin bahawa wanita dan kanak-kanak mewakili sebahagian besar daripada mereka yang terbunuh dalam peperangan itu.

Pejabat hak asasi manusia PBB dalam satu kenyataan yang disertakan dengan laporan setebal 32 muka surat berkata, penemuan itu menunjukkan ‘pelanggaran sistematik terhadap prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk perbezaan dan kesepadanan’,.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk. berkata, adalah penting untuk memastikan bahawa tuduhan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa diadili melalui badan kehakiman yang boleh dipercayai dan tidak berat sebelah.

Katanya , pada masa sama, semua maklumat dan bukti yang berkaitan perlu dikumpul dan disimpan.

Bagaimanapun misi diplomatik Israel ke PBB di Geneva menyatakan ia secara tegas menolak laporan tersebut.

“Seperti biasa, OHCHR gagal mencerminkan keadaan sebenar di lapangan dan tidak mengambil kira peranan besar Hamas dan pertubuhan lain keranan sengaja menyebabkan kemudaratan kepada orang awam di Gaza,” katanya.

Israel mendakwa bahawa Hamas sengaja bersembunyi dalam kalangan orang awam dan menggunakan mereka sebagai perisai manusia, oleh itu pejuang Hamas bertanggungjawab atas kematian mereka.

Israel melaporkan bahawa kira-kira seorang awam terbunuh bagi setiap pejuang, nisbah yang dipersalahkan terhadap Hamas, yang menafikan penggunaan orang awam dan infrastruktur awam, termasuk hospital, sebagai perisai manusia.

Nnn

Related posts

Leave a Comment