HYDERABAD – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berada pada kedudukan baik untuk menangani cabaran yang dihadapi umat Islam, kata Setiausaha Agungnya Ismail Ould Sheikh Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di Islamabad semalam.
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa sebagai badan yang mewakili umat Islam, OIC mempunyai kedudukan unik untuk menerajui usaha kolektif dalam menangani isu kritikal yang dihadapi ummah,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Ismail, yang dalam rangka lawatan pertamanya ke Islamabad selaku Setiausaha Agung, sebelum itu menyertai sesi pembukaan Mesyuarat ke-30 Majlis Menteri-Menteri Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar.
Dalam ucapannya, pemimpin pertubuhan 57 negara anggota itu memuji usaha diplomatik berterusan Pakistan dalam mempromosikan keamanan di Asia Barat serta meredakan ketegangan.
Beliau turut menyeru agar usaha bersama antara OIC dan ECO digerakkan bagi meningkatkan perdagangan intra-OIC, mempelbagaikan ekonomi, keterjaminan makanan serta peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.
Ismail juga melawat ibu pejabat Jawatankuasa Tetap Kerjasama Saintifik dan Teknologi OIC (COMSTECH) di Islamabad serta meninjau peranannya dalam membantu ahli sains, penyelidik dan institusi akademik di negara anggota.
Nnn
