Hamas sedia masuki rundingan baharu

GAZA – Hamas menyatakan kesediaan memasuki pusingan rundingan baharu bagi gencatan senjata kekal di Gaza, ketika serangan terbaharu Israel semalaman membunuh sekurang-kurangnya 37 mangsa.

Perunding Hamas, Khalil al-Hayya, membuat pengumuman itu dalam satu ucapan sempena sambutan Aidiladha.

“Kami sekali lagi menegaskan kami sedia untuk satu lagi pusingan rundingan yang serius bagi mencapai perjanjian gencatan senjata secara kekal,” katanya yang menegaskan Hamas sedang berhubung dengan pihak perantara.

Usaha sebelum ini untuk rundingan gencatan senjata baharu gagal mencapai kemajuan sejak rundingan terakhir berakhir pada Mac, apabila Israel menyambung semula operasi ketenteraannya di Gaza.

Israel dan Hamas dilaporkan hampir mencapai persetujuan pada hujung bulan lalu, namun perjanjian gagal dimuktamadkan berikutan kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain menggagalkan cadangan yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Tentera Israel baru-baru ini terus meningkatkan serangan dalam apa yang dinyatakan mereka sebagai usaha baharu menghapuskan Hamas, kumpulan yang menyerang Israel pada Oktober 2023 sehingga mencetuskan perang.

Desakan antarabangsa supaya rundingan gencatan senjata dimuktamadkan semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini khususnya apabila keadaan kemanusiaan di wilayah Palestin yang musnah itu terus merosot.

Manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memberi amaran ‘sistem kesihatan Gaza sedang runtuh’ merujuk risiko yang dihadapi dua hospital awam terakhir yang masih beroperasi di Khan Younis iaitu Hospital Nasser dan Al-Amal.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment