AU desak AS amal larangan ‘seimbang’

ISTANBUL – Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU) menggesa Amerika Syarikat (AS) mengamalkan dasar larangan perjalanan yang ‘seimbang, berasaskan bukti dan mencerminkan hubungan dua hala jangka panjang’.

Dalam satu kenyataan, AU menyatakan kebimbangan terhadap kesan negatif yang mungkin timbul susulan sekatan perjalanan terbaru Washington terhadap 12 negara, kebanyakannya dari benua Afrika.

Kesan negatif itu melibatkan hubungan rakyat, pertukaran pendidikan, perdagangan, serta hubungan diplomatik yang dibina secara berperingkat selama beberapa dekad.

AU mengakui hak kedaulatan setiap negara untuk perlindungan dan keselamatan sempadan tetapi pada masa sama menekankan kepentingan bersama antara benua Afrika dan AS dalam memupuk keamanan, kemakmuran serta kerjasama global.

Juster AU turut menyeru secara berhemah supaya pentadbiran AS mempertimbangkan pendekatan yang lebih bersifat perundingan dan terlibat dalam dialog konstruktif dengan negara yang terjejas.

AS juga diminta mengamalkan komunikasi yang telus dan, jika perlu, usaha kerjasama untuk menangani kebimbangan asas di sebalik keputusan sekatan perjalanan itu.

Pentadbiran Trump baru-baru ini mengumumkan larangan yang akan menghalang kemasukan ke AS dari 12 negara, serta mengenakan sekatan separa ke atas tujuh negara lain.

Larangan melibatkan mereka dari Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman manakala tujuh lagi negara – Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela berdepan sekatan separa serta kemasukan yang terhad.

Larangan dan sekatan ini akan berkuat kuasa pada 12.01 pagi Waktu Timur AS, Isnin ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment