Larangan perjalanan 12 negara

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani larangan perjalanan yang menyasarkan 12 negara, dengan menyatakan ia didorong oleh insiden serangan terhadap protes Yahudi di Colorado pada Ahad lalu.

Larangan itu menyasarkan warga Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan serta Yaman.

Selain itu, Trump turut mengenakan larangan separa terhadap pengembara dari tujuh negara lagi membabitkan Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela.

Untuk rekod, larangan itu menyerupai langkah seumpama diambilnya ketika kali pertama memegang jawatan Presiden AS sebelum ini.

“Serangan di Boulder, Colorado, baru-baru ini, menunjukkan ancaman bahaya ekstrem terhadap negara kita dengan kemasukan warga asing yang tidak disaring dengan betul.

“Kita tidak inginkan mereka,” kata Trump dalam satu rakaman video mesej dari Pejabat Oval yang dimuat naik dalam X.

Trump turut membandingkan tindakan terkini itu dengan larangan dikenakan pada penggal pertama pentadbirannya sebelum ini terhadap sejumlah sasaran yang kebanyakan adalah negara Islam.

Beliau mendakwa bahawa ia berjaya mengelak AS daripada mengalami serangan sebagaimana berlaku di Eropah.

“Kita tidak akan membenarkan apa yang berlaku di Eropah, berlaku di Amerika.

Kita tidak boleh terbuka kepada migrasi dari mana-mana negara yang kita tidak dapat saring serta periksa dengan selamat dan boleh dipercayai.

“Itulah sebabnya pada hari ini (semalam), saya menandatangani satu perintah eksekutif baharu yang mengenakan sekatan perjalanan terhadap negara-negara termasuk Yaman, Somalia, Haiti, Libya dan banyak lagi,” kata Trump.

Dalam insiden di Colorado pada Ahad lalu, suspek dikenali sebagai Mohammed Sabry Soliman didakwa melontar bom api dan menyembur petrol terbakar ke arah sekumpulan individu yang berhimpun untuk menyuarakan sokongan kepada tebusan Israel yang berada dalam tawanan Hamas.

Pegawai Keselamatan Dalam Negeri AS berkata, Soliman berada di negara ini secara haram kerana tinggal melebihi masa visa pelancong, namun lelaki itu sudah memohon suaka pada September 2022.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Abigail Jackson, melalui X berkata,  Trump memenuhi janjinya untuk melindungi rakyat AS daripada warga asing berbahaya yang ingin datang ke negara ini dan mendatangkan ancaman.

“Sekatan wajar ini memfokus negara khusus dan meliputi tempat yang kekurangan saringan sepatutnya, mencatat kadar tinggal melebihi masa visa yang tinggi, atau gagal kongsi identiti serta maklumat ancaman,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment