SEPANG 5 April – Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah pagi ini.
Menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini, beliau mendakwa ditahan walaupun dijadualkan memberi keterangan di IPD Dang Wangi di ibu negara esok.
“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan,“ katanya di status itu.
Status itu bagaimanapun tidak memaklumkan sebab penahanan tetapi ayat terakhirnya beliau menegaskan “Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,”.
Mengikut rekod, pendirian itu berkaitan kempen boikot KK Mart yang terpalit dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah baru-baru ini.
Dalam pada itu BH melaporkan Dr Muhamad Akmal ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Dr Akmal ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah pagi ini susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.
“Dua laporan polis yang dibuat terhadapnya adalah berhubung ucapan dan tindakannya tentang isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart,” katanya kepada BH.
Menurut Razarudin, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, bagi membolehkan siasatan berhubung isu stoking tertera kalimah Allah dijalankan.
Nnnn
