RIYADH – Dalam tempoh tujuh hari, tren Metro Line dijangka mengadakan 4,900 perjalanan di laluan Al-Mashaaer Al-Mugaddassah yang membabitkan sehingga dua juta penumpang sepanjang musim haji tahun ini.
Metro berkapasiti tinggi yang turut dikenali sebagai ‘Sacred Sites Train Line’ itu hanya beroperasi setahun sekali, khusus untuk mengangkut jemaah antara lokasi suci di Makkah seperti Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Arab Saudi, Saleh Al-Zuwaid, berkata, persiapan rapi merangkumi sektor udara, darat, laut dan logistik sedang giat dijalankan menjelang musim haji.
Setakat ini, sebanyak 3,314 penerbangan dari 238 destinasi di 71 negara menerusi 62 syarikat penerbangan telah tiba di Arab Saudi.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan, jumlah perjalanan melalui Haramain High Speed Railway meningkat sebanyak 75 peratus berbanding musim Haji lalu.
Sementara itu inisiatif baharu dikenali sebagai ‘Haji Tanpa Bagasi’ juga diperkenalkan, membolehkan jemaah menaiki kereta api ke Makkah tanpa perlu membawa bagasi – yang dihantar berasingan untuk keselesaan mereka.
Dalam pada itu bagi pengangkutan darat, lebih 25,000 bas disediakan dengan pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh.
Teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) turut diguna pakai di mana
Kenderaan khas dilengkapi AI digunakan untuk mengimbas keselamatan jalan raya dari pelabuhan masuk ke tapak suci.
Hasilnya, jalan raya sepanjang 7,400 kilometer (km) berjaya diselenggara tahun ini.
Jurucakap sektor komunikasi haji, Saad Al-Shanbari pula memaklumkan, liputan 4G dan 5G di Makkah, Madinah dan lokasi suci kini melebihi 99 peratus dengan peningkatan ketara dalam kelajuan internet.
“Sebanyak 10,500 titik akses Wi-Fi telah dipasang bagi memperkayakan pengalaman digital jemaah,” jelasnya.
Sistem kawalan orang ramai berasaskan AI serta rangkaian komunikasi khas turut dibangunkan bersama Aramco Digital bagi memastikan kelancaran operasi digital sepanjang musim haji.
Nnn
