KOTA BHARU 3 Jun – Lebih dua juta kenderaan dijangka memasuki Kelantan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Sabtu ini, susulan kepulangan perantau ke kampung halaman.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata peningkatan trafik itu dijangka lebih tinggi berbanding musim perayaan Aidilfitri lalu, terutama membabitkan anak Kelantan yang pulang untuk bersama keluarga dan melaksanakan ibadah korban.
“Polis akan memberi tumpuan kawalan lalu lintas di lokasi utama termasuk jalan persekutuan, kawasan sempadan serta pusat bandar bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan sepanjang musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan Tahun 2025 bertajuk ‘Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.
Antara laluan yang kerap mencatatkan kadar kemalangan tinggi ialah Jalan Pasir Mas–Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai serta Jalan Gua Musang–Jeli.
Polis turut mengenal pasti 41 lokasi ‘hotspot’ yang sering berlaku kesesakan lalu lintas serius dan rondaan akan dipertingkatkan di kawasan berkenaan sepanjang cuti perayaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan perantau pulang memandu secara berhemah sekali gus mengurangkan kes kemalangan jalan raya.
Ini berikutan pihaknya mendapati sikap pemanduan daripada mereka bertukar sebaik saja memasuki negeri itu.
“Saya mahu pesan kepada semua perantau yang balik kampung nanti supaya memandu secara berhemah dan berhati-hati untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
“Saya berharap mereka dapat kekalkan pemanduan berhemah seperti mereka memandu di luar Kelantan,” katanya
