Kosongkan kerusi bagi PRK hanya imaginasi

SHAH ALAM 3 Jun  – Menteri Besar Amirudin Shari mengulangi penegasannya sebelum ini bahawa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) untuk memberi laluan pilihan raya kecil (PRK) bukanlah sesuatu yang mudah.

Katanya, tindakan itu memerlukan penelitian yang teliti dan beliau secara peribadi mahu melengkapkan tugasnya pada penggal ini dengan sempurna dan damai.

Justeru Naib Presiden PKR itu menyifatkan dakwaan kerusi DUN Sungai Tua miliknya akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah imaginasi dan cakap kosong individu tertentu.

“Setakat ini cakap-cakap itu masih lagi cakap kosong dan saya rasa individu terbabit ada imaginasi. Dia cuba letakkan imaginasi dia itu kepada awam melalui hantaran dikeluarkan di media sosial dan sebagainya.

Ia bukan sesuatu yang mudah (untuk mengosongkan DUN Sungai Tua). Ia perlukan penelitian jitu dalam hal berkenaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Saipolyazan M Yusop.

Amirudin berkata, fokus penting sekarang adalah untuk meluruskan kepimpinan dan memberi tumpuan kepada beberapa isu mengenai keutuhan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Berhubung kekosongan itu (jawatan menteri), saya rasa itu kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan memutuskannya,” katanya.

Ditanya adakah beliau sudah ‘dirisik’ untuk jawatan menteri Persekutuan jika mengosongkan DUN Sungai Tua, Amirudin menafikannya dan menyifatkan itu hanya cakap-cakap saja.

Mengulas keinginan Tengku Zafrul menyertai PKR, Amirudin berkata, parti tidak boleh menafikan kecemerlangan ditunjukkan Tengku Zafrul sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai menteri.

“Kita berbesar hati beliau memilih wadah PKR sebagai wadahnya dan saya pernah sebutkan sebelum ini, adalah lebih baik dia menyertai rakan dalam gabungan.

“Sekurang-kurangnya, dia masih lagi memberikan sokongan dan juga kepakaran berbanding beliau menjadi pembangkang serta menyerang,” katanya.

Tengku Zafrul baru-baru ini menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan sudah menyatakan hasrat menyertai PKR kepada Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh.

 

Nnn

Related posts

Leave a Comment