PUTRAJAYA 3 Jun – Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan proses pengampunan ke atas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak sah kerana tidak melalui suatu persidangan Lembaga Pengampunan.
Menerusi kenyataan media hari ini, AGC memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 diadakan di Istana Negara pada pukul 11 pagi, 16 Mei 2018.
“Jabatan Peguam Negara mengambil maklum berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana beliau secara terbuka menyatakan pengampunan tersebut adalah tidak sah kerana tidak melalui suatu persidangan Lembaga Pengampunan,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun AGC menegaskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkenaan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu.
“Atas nasihat Lembaga Pengampunan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V telah bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan dan diberikan pembebasan serta merta berkuatkuasa mulai tarikh persidangan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan,” kata kenyataan itu.
AGC memandang serius perkara itu sebagai isu yang membabitkan kepentingan Perlembagaan dan institusi.
Selain itu, AGC menegaskan, sebarang kenyataan boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali.
