DULU seorang, kini berdua. Mulai Rabu, 29 April, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat membenarkan dua orang dari sebuah keluarga untuk keluar membeli barangan keperluan, makanan atau ubat-ubatan.
Syarat-syarat pergerakan yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menyebut seseorang yang keluar untuk membeli barangan keperluan boleh ditemani seorang lagi ahli keluarga yang tinggal di rumah yang sama.
Menteri Kanan (Kluster Pertahanan), Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian PKP berkata, pergerakan yang tidak melebihi 10km radius turut dilonggarkan untuk individu yang mahu mendapatkan bekalan makanan dan perkhidmatan perubatan.
Bagaimanapun individu berkenaan harus memilih premis yang paling dekat dengan kediaman masing-masing.
Kebenaran ‘keluar berdua’ berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang dikemas kini dan diwartakan pada Selasa (28 April).
Peraturan terbaharu itu turut dimuat naik di laman web gazet Persekutuan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mula berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.
Mengulas dakwaan seorang peguam kononnya PKP tidak diwartakan, Ismail Sabri berkata kerajaan mewartakan kesemua peringkat PKP dari yang pertama hingga terkini.
“Kalau tidak ada pewartaan tentu saja polis tidak boleh melaksanakan sebarang tindakan. Kerajaan mewartakan setiap satu PKP sebelum ia berkuat kuasa,” katanya.
Ismail Sabri berkata beberapa lagi kelonggaran dalam PKP fasa sekarang akan diumum dalam masa terdekat.
Mengenai tangkapan langgar PKP, beliau berkata polis menangkap 643 orang semalam (28 April) menjadikan jumlah kumulatif tangkapan kepada 21,749 orang.