GAZA – Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 300 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan berhampiran pusat agihan di bandar Rafah, selatan Gaza, semalam.
Justeru, Ketua Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan mekanisme pengagihan bantuan yang diwujudkan Israel kini menjadi “perangkap maut” bagi orang awam yang kelaparan di Semenanjung Gaza.
Israel merancang untuk menubuhkan empat pusat agihan bantuan di selatan dan tengah Gaza, yang menurut media Israel bertujuan memindahkan penduduk Palestin dari utara ke selatan wilayah itu.
Menurut Lazzarini, sistem yang mengaibkan ini telah memaksa ribuan penduduk yang kelaparan dan terdesak berjalan sejauh puluhan batu ke kawasan yang hampir musnah sepenuhnya akibat pengeboman tentera Israel.
“Penghantaran dan pengagihan bantuan mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan selamat. Di Gaza, perkara ini hanya boleh dilakukan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk UNRWA,” katanya.
Beliau turut menggesa Israel supaya menamatkan sekatannya ke atas Gaza dan membenarkan PBB mendapat akses selamat dan tanpa halangan bagi membawa masuk serta mengagihkan bantuan kemanusiaan.
“Ini satu-satunya cara untuk mengelakkan kebuluran besar-besaran, termasuk dalam kalangan satu juta kanak-kanak,” katanya.
Katanya , di samping pelbagai naratif bersaing dan kempen penyelewengan maklumat yang giat dijalankan, media antarabangsa mesti dibenarkan memasuki Gaza untuk melaporkan secara bebas mengenai kekejaman yang sedang berlaku.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 300 lagi cedera akibat tembakan Israel berhampiran pusat agihan bantuan sejak mekanisme agihan itu bermula pada 27 Mei lalu.
Sementara itu, Penasihat Media UNWRA, Adnan Abu Hasna semalam, menyatakan bahawa maklumat yang tersebar luas mengenai jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza adalah mengelirukan.
Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Abu Hasna menegaskan bahawa bakul makanan yang diagihkan hanya merangkumi sebahagian kecil daripada keperluan lebih dua juta penduduk.
Dalam wawancara bersama Radio Voice of Palestine, Abu Hasna menjelaskan bahawa hanya 800 trak bantuan berjaya memasuki Gaza dalam tempoh 17 hari, yang hanya memenuhi sembilan peratus daripada keperluan asas penduduk.
Beliau memberi amaran bahawa kebuluran dan kekurangan zat makanan semakin meningkat dengan cepat manakala Gaza berdepan sistem kesihatan yang runtuh dan pencemaran air yang meluas — satu daripada detik paling gelap dalam kehidupan penduduknya.
Abu Hasna turut menekankan usaha berterusan Israel untuk membubarkan UNRWA dan menggantikannya dengan sistem alternatif yang tidak mempunyai keupayaan operasi dan infrastruktur yang mencukupi.
Nnn