Israel mengaku bunuh Sinwar

BAITULMAQDIS – Israel mengaku sudah membunuh pemimpin de facto Hamas, Mohammed Sinwar, yang didakwa mendalangi serangan pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel, bersama arwah abangnya, Yahya.

Menurut laporan media Israel, Sinwar menjadi sasaran serangan udara di selatan Gaza awal bulan ini, manakala abangnya terkorban pada pertengahan Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengagung-agungkan serangan rejim Zionis yang berjaya membunuh puluhan ribu pejuang Palestin, termasuk Sinwar yang digelar ‘shadow’ atau bayang-bayang.

Sewaktu di Parlimen, Netanyahu menyifatkan pencapaian perang selama 600 hari itu kononnya berjaya mengubah wajah Asia Barat.

“Kami telah mengusir pengganas keluar dari wilayah kami, memasuki Semenanjung Gaza dengan kekuatan, menghapuskan puluhan ribu pengganas, menghapuskan… Mohammed Sinwar,” katanya.

Di Washington pula, Utusan Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Witkoff menyuarakan keyakinan terhadap kemungkinan gencatan senjata, dengan menjangkakan pihaknya akan mencadangkan satu pelan dalam masa terdekat.

Beliau sangat positif mengenai usaha mencapai resolusi jangka panjang, gencatan senjata sementara dan penyelesaian damai terhadap konflik itu.

Bagaimanapun, rakyat Gaza tidak yakin dengan ‘janji’ itu.

Setakat semalam, pasukan pertahanan awam Gaza merekodkan serangan Israel membunuh lebih 30 penduduk Palestin dan keadaan kian meruncing apabila Israel mengenakan sekatan penuh ke atas wilayah terbabit selama lebih dua bulan, sebelum melonggarkan sedikit minggu lalu.

Tentera rejim Zionis dilaporkan merancakkan serangan tenteranya awal bulan ini, sementara perantara masih berusaha mencapai gencatan senjata yang diakui sukar

Nnn

Related posts

Leave a Comment