NEW YORK – ““Mereka ini adalah kanak-kanak. Kanak-kanak… Kanak-kanak!” kata Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour, dalam nada sebak bercampur marah.
Beliau merujuk penderitaan dan kematian yang dialami kanak-kanak Palestin dalam konflik berterusan di Gaza ketika menyampaikan ucapan di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada semalam, Rabu.
Dalam ucapan penuh emosi itu, Mansour berkongsi kisah Dr. Alaa al-Najjar, seorang doktor warga Palestin yang kehilangan sembilan daripada 10 orang anaknya.
Lebih memilukan, anak-anak Dr Alaa dibawa ke hospital tempat beliau bertugas dalam keadaan sudah tidak bernyawa dan rentung.
“Ini adalah satu kengerian dan trauma yang tidak dapat difahami oleh akal, dan tidak tertanggung oleh hati,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kepada UNSC bahawa lebih 1,300 kanak-kanak Palestin terbunuh dan kira-kira 4,000 lagi cedera sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza susulan kegagalan gencatan senjata pada bulan Mac.
“Puluhan kanak-kanak mati akibat kebuluran. Imej ibu-ibu yang memeluk tubuh anak mereka yang kaku, membelai rambut mereka, bercakap dengan mereka, memohon maaf kepada mereka — amat menyayat hati.”, katanya sehingga pada satu ketika
Mansour menghentak meja dan terhenti seketika apabila beliau tidak dapat menahan tangisan.
“Saya mempunyai cucu. Saya tahu betapa berharganya mereka kepada keluarga masing-masing dan melihat keadaan ini menimpa rakyat Palestin tanpa kita mempunyai hati untuk bertindak, adalah sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh mana-mana insan yang waras.” Katanya.