Melayu Berdaulat papar kekecewaan terhadap kerajaan

KUALA LUMPUR 28 Mei – Laungan “Melayu Berdaulat”, yang menggantikan “Hidup Melayu” seperti yang sering dilaungkan oleh parti-parti politik tertentu sebelum ini menunjukkan tahap kekecewaan terhadap keprihatinan kerajaan berhubung isu-isu berkepentingan orang Melayu dan Islam.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Asmawar Samat berkata, pihaknya bersetuju dengan cogan kata “Melayu Berdaulat” itu kerana banyak isu melibatkan orang Melayu sering diusik sedangkan perkara itu sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataannya, beliau mendakwa, isu-isu berkaitan dilihat semakin terjejas dan tidak diendahkan termasuk akibat kecuaian dan kelemahan jabatan serta agensi penguatkuasaan.

Beliau mengingatkan tindakan ‘mengusik’ itu boleh menjadi kesalahan, menjejaskan kestabilan dan keharmonian kaum kerana perkara yang diusik dan diungkit-ungkit itu mudah menjadi wabak yang tidak terkawal.

Katanya, antara isu tersebut adalah tanah rizab Melayu yang turun secara mendadak kepada 12 peratus yang sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang mencemaskan.

“Apa yang terjadi, peratusan tersebut tidak berubah dan terabai, malah kelemahan penguatkuasaan menyerlah, umpamanya, kes pencerobohan tanah untuk tanaman Musang King di Raub telah diputuskan oleh mahkamah, namun penguatkuasaannya tertangguh,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Justeru pihak aktivis membuat ketetapan untuk melancarkan “Majlis Tanah Rizab Melayu” dengan menubuhkan pusat atau klinik aduan bagi menjalankan siasatan ke atas aduan-aduan melibatkan Tanah Rezab Melayu.

Ini termasuk kes melibatkan tanah rizab Melayu di Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur yang mana tindakan meroboh dan menghalau penghuni keluar rumah adalah bertentangan kerana Akta Pembaharuan Bandar (URA) belum digubal dan diluluskan oleh pihak penggubal perundangan di Parlimen.

Begitu juga cadangan untuk mendaftar Kampung Baru Sekinchan di bawah Parlimen Sungai Besar (asalnya Tanah Rizab Melayu) di bawah UNESCO dan cadangan pemberi milikan Bagan Nakhoda Omar (milik Melayu) di bawah Parlimen Sabak Bernam kepada bukan Melayu.

Berkaitan agama Islam pula, aktivis tidak puas hati kerana ada pihak tertentu bukan Islam yang menjadi sebahagian daripada entiti kerajaan suka membangkit perkara-perkara melibatkan kepentingan agama dan sensitiviti Islam.

Susulan itu, Putra mengesyorkan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperkenalkan semula bagi menangani permasalahan pengeksploitasi tanah rizab Melayu, kepentingan orang Melayu dan hal ehwal agama Islam agar kedudukannya di dalam Perlembagaan sentiasa terjamin dan dipelihara dengan baik.

Katanya, pihak kerajaan jangan membiarkan pihak berkenaan bebas bertindak semata-mata kerana mereka berada dalam kerajaan.

“Sekiranya berterusan, semangat membina Kerajaan Madani akan terhakis ditelan oleh mereka yang rakus dan bersikap mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh atas kelemahan dan perpecahan kepemimpinan Melayu itu sendiri,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment