Mas Ermieyati sedia hadapi saman Pengerusi Mara

SEPANG 28 Mei – Ahli Parlimen Masjid Tanah,  Mas Ermieyati Samsudin bersedia menghadapi tindakan mahkamah susulan kritikan terbuka terhadap kelewatan dan kelemahan pinjaman Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Katanya, beliau menyerahkan hal ini kepada proses undang-undang dan sedia menghadapi di mana-mana medan termasuk di mahkamah, jika itu pilihannya.

Beliau merujuk kenyataan Pengerusi Mara Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang akan memulakan prosiding saman terhadapnya atas dakwaan menyebarkan fitnah berhubung pengurusan dana agensi itu.

Dr Asyraf mendakwa  Mas Ermieyati menuduh beliau membazirkan dana Mara melalui lawatan mengejut, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Tak habis-habis seorang pembangkang dari Melaka buat pelbagai fitnah kononnya saya habiskan duit Mara sebab ‘terjah’, ‘tebuk hafazan’ dan sudah tidak biayai pelajar TVET.

Insya-Allah, barisan peguam Mara akan memulakan prosiding saman terhadap beliau. Mula-mula saya malas nak layan tetapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. Jumpa di mahkamah, YB Mas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu menyatakan kritikan yag dikemukakan merupakan suara Rakyat.

“Ini adalah sebahagian daripada mesej dan aduan yang dikemukakan oleh rakyat kepada saya terutamanya ibu bapa serta para pelajar yang kecewa dengan ketidaktentuan masa depan pendidikan mereka. Saya suarakan sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat dan yang diberi amanah oleh rakyat,” katanya.

Dalam kenyataannya, Mas Ermieyati meminta, jika Dr. Asyraf Wajdi merasakan suara   rakyat itu satu fitnah, beliau sepatutnya menjawab dengan mengemukakan fakta-fakta bukannya dengan ugutan saman.

Sambil mengingatkan Mara institusi rakyat, beliau meminta Dr. Asyraf Wajdi untuk menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakannya.

Pertama, adakah permohonan pinjaman pelajaran bagi pengambilan pelajar Mac 2025 secara online masih belum dibuka? Kenapa dan bilakah permohonan akan dibuka kembali?; kedua bilakah Mara akan menyelesaikan isu pinjaman pelajar TVET Mara? dan benarkah tiada bantuan TESP bagi tahun ini?

Ahli Parlimen itu juga bertanya adakah perbelanjaan jelajah seluruh negara dan luar negara oleh Dr. Asyraf Wajdi dan/atau rombongan menggunakan dana awam? Jika benar, berapakah jumlahnya dan siapa ahli rombongan yang mengikutinya?

Beliau juga kesal apabila Dr. Asyraf Wajdi memilih menggunakan peguam Mara atau lantikan Mara, yang mana mereka sepatutnya bertanggungjawab untuk membela institusi dan hak serta kebajikan pelajar, bukan untuk menyamannya secara peribadi.

“Ini bukan soal ego politik, ini soal nasib anak bangsa. Janganlah digunakan duit rakyat untuk tutup suara rakyat pula. Saya tidak sesekali gentar dengan ugutan saman seperti ini. Saya akan terus bersuara demi anak-anak Bumiputera, demi pelajar-pelajar TVET, demi rakyat dan negara,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment