MADRID – Masyarakat antarabangsa digesa terus memberi tekanan dan melaksanakan sekatan terhadap Israel bagi menghentikan perang di Gaza yang sudah mengorbankan hampir 54,000 nyawa termasuk kanak-kanak.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, berkata perang tidak masuk akal dan tidak berperikemanusiaan itu mesti dihentikan dan bantuan kemanusiaan perlu dibenarkan masuk ke wilayah Gaza tanpa syarat dan tidak dikawal tentera Israel.
Gesaan itu dibuat ketika negara Eropah dan Arab berhimpun di Madrid, semalam, bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik di Asia Barat yang semakin meruncing itu.
Mesyuarat itu disertai wakil negara Eropah seperti Perancis, Britain, Jerman dan Itali, serta negara Arab termasuk Mesir, Jordan, Arab Saudi, Turkiye, Maghribi, selain wakil Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Turut serta, negara yang sudah mengiktiraf kewujudan Palestin seperti Norway, Iceland, Ireland, Slovenia dan Sepanyol sendiri, bersama wakil dari Brazil.
Sepanyol juga akan menggesa rakan-rakan antarabangsa mengenakan sekatan senjata terhadap Israel dan tidak menolak sebarang sekatan individu ke atas pihak yang ‘mahu menghancurkan penyelesaian dua negara untuk selama-lamanya.
Pada mesyuarat itu, Sepanyol turut menggesa Kesatuan Eropah (EU) menggantung segera perjanjian kerjasama dengan Israel, selain mencadangkan pelaksanaan sekatan penjualan senjata dan sekatan individu terhadap pihak yang dilihat mahu menggagalkan penyelesaian dua negara.
“Sepanyol tidak akan menolak sebarang bentuk tindakan terhadap pihak yang cuba memusnahkan harapan kepada penyelesaian dua negara,” tegas Albares.
Mesyuarat berkenaan turut menyuarakan komitmen untuk menghidupkan semula rundingan damai antara Palestin dan Israel ke arah penyelesaian menyeluruh dan berkekalan.
Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa, dalam kenyataannya berkata, pihaknya mahu bergerak pantas ke arah perdamaian yang membolehkan negaranya dan Israel hidup bersama secara aman, sambil menjamin kestabilan dan keselamatan rantau berkenaan.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dalam satu kenyataan pula menegaskan, negaranya akan menyokong draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan memperluaskan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza serta mendesak Israel bertanggungjawab terhadap kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau berkata, pendirian Sepanyol adalah selaras dengan keperluan mendesak untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan di wilayah itu.
Nnnn