KAHERAH -Sekurang-kurangnya 38 rakyat Palestin terbunuh dalam beberapa serangan udara terbaru Israel di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam, termasuk kanak-kanak, pegawai kanan perkhidmatan kecemasan dan wartawan.
Menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza, serangan berasingan itu menyasarkan kawasan Khan Younis di selatan, Jabalia di utara dan Nuseirat di tengah Gaza.
Di Jabalia, wartawan tempatan, Hassan Majdi Abu Warda, bersama beberapa ahli keluarganya, terbunuh selepas kediaman mereka dibedil awal pagi Ahad menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak Oktober 2023 meningkat kepada 220 orang.
Sementara itu, di Nuseirat, satu lagi serangan udara meragut nyawa pegawai kanan dalam perkhidmatan kecemasan awam wilayah itu, Ashraf Abu Nar, serta isterinya di kediaman mereka.
Di Nuseirat, satu lagi serangan udara meragut nyawa pegawai kanan dalam perkhidmatan kecemasan awam wilayah itu, Ashraf Abu Nar, serta isterinya di kediaman mereka.
Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, dalam kenyataan ketika melawat anggotanya di Khan Younis semalam, berkata, Hamas sudah kehilangan sebahagian besar kekuatannya termasuk struktur perintah dan kawalan.
“Kita akan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk membawa pulang tebusan, memusnahkan Hamas dan menamatkan pemerintahan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyentuh secara khusus mengenai serangan terbaru yang dilancarkan semalam.
Lewat hari yang sama, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa dua kakitangannya, Ibrahim Eid dan Ahmad Abu Hilal – terbunuh dalam satu serangan ke atas sebuah rumah di Khan Younis, kelmarin.
Dalam kenyataan berasingan, Pejabat Media Gaza menyatakan bahawa tentera Israel kini menguasai kira-kira 77 peratus kawasan Semenanjung Gaza melalui kehadiran darat, arahan pengosongan serta serangan berterusan yang memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka.