Perancis, Britain, Kanada bantu Hamas?

JERUSALEM – Benjamin Netanyahu mendakwa pemimpin Perancis, Britain dan Kanada cuba membantu kumpulan pejuang Palestin, Hamas selepas ketiga-tiga negara itu memberi amaran akan mengambil “tindakan konkrit” sekiranya Israel tidak menghentikan serangan terbaharunya di Gaza.

Kenyataan Perdana Menteri Israel itu selari dengan pandangan Menteri Luar , Gideon Saar, yang sebelum ini turut menyelar tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Tel Aviv berhubung perang di Gaza.

Netanyahu mendakwa pemimpin-pemimpin ini berada di pihak yang salah dalam kemanusiaan dan sejarah.

Malahan beliau menuduh mereka menyokong “pembunuh beramai-ramai, perogol, pembunuh bayi dan penculik” yang merujuk kepada serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023.

Imej kemusnahan dan kebuluran di Gaza yang terus tersebar ke seluruh dunia telah mencetuskan gelombang protes global, menjadikan Israel semakin sukar mengubah persepsi antarabangsa walaupun selepas serangan berdarah oleh Hamas.

Israel turut bimbang dengan seruan beberapa negara Eropah termasuk Perancis untuk mengiktiraf negara Palestin, menyusuli langkah Sepanyol dan Ireland dalam mendukung penyelesaian dua negara.

Buat kesekian kalinya, Netanyahu menegaskan, kewujudan negara Palestin akan mengancam keselamatan Israel.

Beliau turut merujuk insiden pembunuhan dua kakitangan kedutaan Israel di Washington baru-baru ini oleh seorang lelaki yang didakwa melaungkan “Bebaskan Palestin”, sebagai bukti ancaman tersebut.

Menerusi kenyataan di platform X, beliau mendakwa lafaz sama turut kedengaran semasa serangan Hamas pada 7 Oktober  2023.

“Mereka tidak mahu negara Palestin. Mereka mahu menghancurkan negara Yahudi,” tegas beliau sambil menyatakan rasa hairan terhadap kegagalan pemimpin Perancis, Britain dan Kanada memahami perkara tersebut.

Netanyahu turut mendakwa, Hamas telah mengucapkan terima kasih kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan wakil Kanada, Mark Carney atas desakan mereka agar perang dihentikan – walaupun kenyataan pemimpin-pemimpin tersebut hanya menyeru agar serangan terbaharu dihentikan dan sekatan bantuan kemanusiaan dilonggarkan.

Hamas mengalu-alukan kenyataan itu, namun Netanyahu tidak mengemukakan sebarang bukti berlakunya hubungan langsung antara kumpulan tersebut dan ketiga-tiga negara terbabit.

Nnn

Related posts

Leave a Comment