Anwar ambil kira yang terbaik

JOHOR BAHRU 23 Mei – “HIRUK dan DAMAI. Kalau setengah ada ‘cai’ sana, setengah ada ‘cai’ sini, saya tak. Saya harap dalam buat keputusan, dua-dua itu diambil kira, yang dirasakan yang terbaik,” kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, demikian ketika ditanya mengenai pilihan kempen sama ada Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) atau Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif (DAMAI).

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata beliau memilih kedua-duanya.

Kempen HIRUK diketuai penyandang jawatan Timbalan Presiden Rafizi Ramli manakala DAMAI pula diterajui Nurul Izzah Anwar yang mencabar kedudukan Menteri Ekonomi itu.

Katanya, adalah lebih baik melihat seseorang calon yang terbaik untuk dipilih berbanding berpandukan senarai nama sokongan atau ‘cai’.

“Saya tak bawa ‘cai’, sebab itu ambil masa panjang, nak teliti satu persatu.

Tengok mana yang terbaik, kita undi. Itu yang sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi pada Pemilihan PKR di sini, hari ini.

Beliau diiringi isteri yang juga Pengerusi Majlis PKR,  Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa serta Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau mengandaikan Timbalan Presiden PKR,  Rafizi  akan hadir pada Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR 2025, yang berlangsung malam ini.

“Saya ingat dia datang. Dia tak beritahu, tapi saya ‘assume’, sebab dia Timbalan Presiden, dia mesti datang,” katanya.

Menurut beliau, Rafizi tidak mempunyai masalah dalam ‘kerjanya’ termasuk sentiasa hadir dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Malam ini, Anwar dijangka menyempurnakan Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Ditanya mengenai inti pati ucapan perasmiannya malam ini termasuk apa yang ingin ‘disinggungnya’, Anwar berkata, “Ada ke ucapan presiden tak singgung, mesti singgung-menyinggung.”

Nnnn

Related posts

Leave a Comment