GAZA – Selepas 11 minggu sekatan penuh, Israel akhirnya membenarkan sejumlah kecil bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak mencukupi untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Menurut laporan, pada Isnin lima lori bantuan yang membawa makanan bayi dan bekalan asas telah dibenarkan memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Shalom.
Ketua kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, menegaskan, jumlah bantuan yang dibenarkan masuk hanyalah “setitis dalam lautan” berbanding keperluan mendesak lebih 2.1 juta penduduk yang terjejas akibat perang.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa keputusan untuk membenarkan bantuan masuk dibuat selepas tekanan daripada sekutu Israel di Senat Amerika Syarikat (AS).
Beliau menegaskan bahawa Israel tidak boleh membiarkan situasi kebuluran berlaku, baik dari sudut praktikal mahupun diplomatik.
Namun, beliau juga menekankan bahawa penghantaran bantuan hanya akan diteruskan sehingga tentera Israel dan syarikat swasta dapat menubuhkan pusat pengagihan bantuan di bawah rancangan yang disokong oleh AS tetapi ditolak oleh PBB.
Sementara itu, serangan udara Israel terus mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang di seluruh Gaza pada hari yang sama, termasuk lima individu yang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Nnn