Guan Eng persoal bonus 6 bulan PDC

TANJONG 20 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Air Putih, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberikan bonus sehingga enam bulan gaji kepada kakitangannya awal tahun ini.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, keuntungan yang diperoleh seharusnya digunakan untuk pembangunan negeri.

Katanya, bonus keseluruhan RM6.7 juta itu mungkin dianggap munasabah sekiranya tidak menjadi bahan bualan dalam kalangan penjawat awam negeri lain dan timbul persoalan sama ada badan kerajaan negeri yang lain yang turut mencatat keuntungan tinggi akan menerima bonus pada kadar serupa.

“Mengikut angka yang diberikan, bonus yang dibayar berjumlah RM6.7 juta. Sekiranya ia diberikan secara munasabah, memang ini tidak menjadi satu perkara yang menjadi buah mulut dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri lain.

Tetapi adakah ini akan dibayar kepada semua badan kerajaan negeri yang dapat keuntungan sedemikian seperti Perbadanan Bukit Bendera dan sebagainya. Jadi kita ingin tahu siapakah yang dapat bonus sebanyak enam bulan ini?” katanya semasa membahaskan usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang,

Guan Eng mengakui sebagai agensi kerajaan negeri bertanggungjawab atas bank tanah di negeri ini, PDC sememangnya berpeluang meraih lebihan hasil atau keuntungan tinggi.

“Namun, ia harus digunakan untuk pembangunan dan sekiranya ini menjadi tanda tanya, saya rasa penjelasan harus diberikan, apa sebab dan asas pembayaran begitu tinggi sehingga enam bulan bonus,” katanya.

Pada 9 Februari lalu media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar berkata, 396 kakitangan akan menerima bonus antara satu hingga enam bulan berdasarkan prestasi masing-masing.

Ia berikutan keuntungan lebih RM500 juta direkodkan PDC bagi 2024, kadar tertinggi dalam sejarah penubuhan agensi itu dengan kira-kira 10 peratus kakitangan akan menerima bonus bersamaan enam bulan gaji.

Guan Eng turut mengkritik PDC berhubung kelewatan bertahun-tahun dalam kerja pelebaran dan naik taraf Jalan Tok Kangar di Juru, yang telah lama menimbulkan rungutan penduduk tempatan selain kerap berlaku kemalangan maut.

Selain mempersoalkan mengapa projek itu berdepan kelewatan yang lama dengan tarikh siap projek dijangka ditunda kepada tahun depan, beliau juga bertanya berapa banyak kos tambahan yang perlu ditanggung akibat kelewatan itu.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment