KUALA LLUMPUR14 Mei – Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Khairul Firdaus Akbar Khan menggesa agensi pelancongan berkaitan umrah supaya terus kreatif bagi menawarkan perkhidmatan kepada bakal jemaah.
Katanya, seiring dengan arus pemodenan teknologi dan digital, setiap agensi diharap dapat berlumba-lumba untuk menawarkan pakej yang lebih telus, berpatutan dan berintegriti demi menjaga kepercayaan jemaah.
Justeru, beliau menyambut baik Program Bangkit Usahawan Umrah siri ke-2 anjuran Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan MOTAC.
Program itu berjaya merekodkan kehadiran seramai 223 peserta yang mewakili pelbagai agensi pelancongan dan turut disertai syarikat penerbangan yang menawarkan tiket penerbangan untuk jemaah umrah.
“Siri kedua ini memfokuskan kepada ejen pelancongan yang mempunyai ramai pengikut, tetapi tidak menjadi pelanggan.
“Dengan adanya kursus ini, pengikut sekarang ini akan bertukar menjadi pelanggan.Saya berharap para peserta hari ini dapat ilmu yang diperoleh dan dipelajari dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Bangkit Usahawan Umrah siri ke-2, hari ini di Auditorium Andalusia di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Andalusia Md Daud Che Ngah, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Ida Riswana Idris dan Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin.
Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita, beliau mengingatkan kepentingan peranan rakan strategik kerana kejayaan bukan usaha individu sebaliknya hasil kolaborasi.
“Gabungan kepakaran, sumber dan sokongan moral daripada rakan-rakan strategik, inilah yang menjadi tulang belakang kepada keberkesanan program ini.
“Kita juga mahu rangkaian ini bukan sahaja diperluaskan menerusi industri umrah sahaja, malah bagaimana kita boleh memperkasakan syarikat bumiputera dengan kolaborasi pelbagai pihak.
“Ia meliputi para rakan strategik, pengusaha hotel, syarikat penerbangan, penyedia makanan, penyedia inap desa dan sebagainya,” katanya.
Khairul Firdaus juga memberitahu, MOTAC dijangka membentangkan Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 (Akta 482) selewat-lewatnya tahun depan yang dijangka membawa satu perubahan yang cukup besar dalam sektor pelancongan.
Beliau berkata, beberapa pelan telah dirangka dan diperhalusi melibatkan libat urus pelbagai pemain industri sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Katanya, akta berkenaan juga penting dalam memastikan industri umrah benar-benar dalam keadaan baik dan tidak disalahgunakan.
“Akta itu juga akan menitik beratkan pemerkasaan dan kepercayaan para pelanggan terhadap agensi-agensi umrah. Paling penting, bagaimana para pelanggan itu mendapat perkhidmatan yang cukup baik.
Sementara itu, Ida Riswana berkata, Program Bangkit Usahawan Umrah adalah inisiatif untuk melahirkan lebih ramal usahawan muslim dalam industri umrah dan pelancongan Islam.
“Program ini menyediakan latihan, bimbingan dan platform perniagaan kepada peserta untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan umrah secara sah dan berlesen. Membuka peluang keusahawanan dalam sektor umrah dan pelancongan Islam.
“Ia menyediakan latihan intensif dalam bidang pemasaran, syariah dan pengurusan umrah selain mmbantu peserta membina bisnes berlesen dengan bimbingan profesional,” jelasnya.
Nnnn