Ingatan Lembaga Disiplin PKR

SEPANG 14 Mei  – Lembaga Disiplin PKR mengingatkan semua calon dan penyokong pada Pemilihan PKR 2025 supaya menjaga integriti, perpaduan dan imej parti sepanjang peringkat terakhir kempen pemilihan parti.

Pengerusinya Dr Tan Yee Kew, berkata calon juga hendaklah menghentikan serangan peribadi termasuk tidak membuat tuduhan tidak berasas sebaliknya perlu memfokuskan kempen kepada perbahasan dasar dan idea.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, perbuatan menjurus serangan peribadi, perbalahan terbuka serta mengeluarkan kenyataan awam yang menghina terhadap anggota parti adalah tidak wajar, tidak boleh diterima dan hanya akan menggugat perpaduan parti.

“Sebarang dakwaan terhadap mana-mana pihak mestilah disokong dengan bukti yang kukuh dan tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak merupakan satu kesalahan di bawah Kod Tataetika Anggota Perkara 10.2.2 iaitu membuat kenyataan umum yang tidak benar berbentuk fitnah terhadap mana-mana anggota parti,” katanya..

Yee Kaw menegaskan parti tidak akan bertoleransi terhadap politik wang dan perbuatan memberi atau menerima rasuah, hadiah atau sebarang bentuk habuan bagi meraih sokongan kerana ia adalah satu pelanggaran terhadap prinsip parti dan peraturan pemilihan.

“Perbuatan sedemikian akan dikenakan tindakan disiplin serta-merta di bawah Kod Tataetika Anggota: Perkara 10.2.5 iaitu melakukan aktiviti politik wang/rasuah serta menyalahgunakan kuasa sebagai anggota parti,” katanya.

Belau berkata calon dan pengikut juga harus saling menghormati serta mengatasi permusuhan, dan kritikan hendaklah berasaskan kepada dasar atau idea, bukan terhadap individu atau bersifat peribadi.

“Penggunaan bahasa diskriminatif, pembunuhan karakter atau retorik yang mengundang kemarahan akan mencemarkan reputasi parti dan merupakan satu kesalahan selaras dengan Kod Tataetika Anggota Perkara 10.1.6 ‘melindungi dan menjaga nama baik parti’,” katanya.

Yee Kew juga mengingatkan setiap anggota parti mencerminkan imej parti dan kepercayaan awam hanya dapat diraih melalui maruah, ketelusan, dan tingkah laku yang beretika.

Katanya, Lembaga Disiplin akan terus memantau dengan teliti tingkah laku calon dan para penyokong, dan sebarang pelanggaran terhadap tata etika anggota akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penggantungan atau pemecatan daripada parti.

“Sebarang perbezaan pandangan wajar disuarakan secara konstruktif, kempen hendaklah berfokus kepada sesuatu isu, dan setiap interaksi perlu berlandaskan adab serta rasa hormat.

“Semua anggota diseru memelihara warisan parti dengan mengutamakan kepentingan bersama mengatasi agenda peribadi,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment