Krisis India, Pakistan, X sekat 8,000 akaun

WASHINGTON – Platform media sosial X mendedahakan bahawa India mengarahkan pihaknya untuk menyekat lebih 8,000 akaun, termasuk menyekat organisasi berita antarabangsa dan pengguna berpengaruh yang lain.

Walaupun berat hati, platform itu mematuhi arahan yang digambarkannya sebagai satu bentuk ‘penapisan’ dikenakan oleh kerajaan di tengah-tengah ketegangan kian memuncak dan konfrontasi berdarah antara kedua-dua negara jiran itu.

Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan keras besar-besaran diambil India yang menyasarkan akaun media sosial milik ahli politik, selebriti serta organisasi media dari Pakistan.

Arahan terbabit dikeluarkan sehari selepas Meta menyekat satu halaman berita Muslim yang terkenal dalam Instagram di India atas permintaan New Delhi.

“X telah menerima arahan eksekutif daripada Kerajaan India untuk menyekat lebih 8,000 akaun di India, dengan tertakluk kepada potensi dikenakan penalti termasuk denda berat dan pemenjaraan ke atas kakitangan tempatan syarikat,” kata kenyataan pasukan hal ehwal kerajaan global di platform itu.

X memaklumkan bahawa dalam kebanyakan kes, kerajaan itu tidak menyatakan secara khusus apa hantaran daripada akaun-akaun yang melanggar undang-undang India, manakala dalam banyak kes lain pula tiada bukti atau justifikasi dikemukakan bagi sekatan terbabit.

Platform itu menyatakan pihaknya tidak bersetuju dengan tuntutan berkenaan, namun sudah memulakan proses untuk menyekat akaun-akaun terbabit di India.

“Ia bukanlah satu keputusan mudah, namun usaha memastikan platform ini dapat terus diakses di India adalah penting bagi membolehkan rakyat India memperoleh maklumat,” kata kenyataan itu.

Platform itu tidak menamakan pengguna yang terkesan, namun media India baru-baru ini melaporkan negara berkenaan telah menyekat akaun X milik ahli politik Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari, dan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

India turut mengharamkan lebih 12 saluran YouTube Pakistan, termasuk sejumlah saluran berita Pakistan, kerana didakwa menyebarkan kandungan ‘provokatif’.

Beberapa personaliti terkenal Pakistan dalam dunia hiburan Bollywood seperti Fawad Khan dan Atif Aslam juga kini tidak dibenarkan di India di samping melibatkan juga pemain kriket, seperti Babar Azam dan Mohammad Rizwan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment