GENEVA – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran situasi di Gaza telah mencapai tahap ‘ kelaparan yang tidak pernah dilihat sebelum ini’.
Menurut agensi itu kelaparan di Gaza sedang merebak dan semakin mendalam akibat pengepungan dan permusuhan berterusan yang disengajakan disebabkan perbuatan manusia.
Justeru, agensi itu menggesa tindakan segera diambil dengan semua pihak menarik balik sekatan, membenarkan aliran bekalan kemanusiaan tanpa had, dan meneruskan gencatan senjata.
“Gaza telah menjadi tanah terdesak,” kata UNRWA melalui X,
Konflik yang berlarutan ketika ini telah memusnahkan perkhidmatan penting dan saluran bekalan, menyebabkan ratusan ribu penduduk berisiko kebuluran kerana bantuan kemanusiaan ke Gaza disekat oleh Israel sejak 2 Mac lalu.
Tentera Israel melancarkan serangan ketenteraan yang kejam ke atas Gaza sehingga membunuh lebih 52,600 mangsa yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.
Sebelum ini, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan juga bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas pertuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan serangannya terhadap wilayah itu.
Nnnn