BAGAN SERAI 8 Mei – Kutipan dana bagi tujuan pembelian tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu melalui akaun bank masjid khususnya melalui media sosial dan online (dalam talian) ditutup secara rasmi tepat pukul 12 tengah malam 8 Mei 2025.
Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusop Majid memaklumkan perkara itu menerusi siaran langsung di akaun Facebook masjid berkenaan sekitar pukul 8 malam tadi.
Menurutnya, kutipan itu dihentikan selepas pihak masjid menerima dana melebihi sasaran asal iaitu RM1.8 juta yang ditetapkan pemilik tanah berkenaan bagi urusan jual beli.
Menurut beliau, sekiranya masih terdapat wang yang masuk ke dalam akaun tersebut, ia akan dikira sebagai wakaf am pembangunan masjid.
“Syukur Alhamdulillah, selepas 36 jam tersebarnya berita bahawa masjid ini memerlukan bantuan sehingga malam semalam, sekitar jam 9 malam, 7 Mei, dimaklumkan jumlah sumbangan telah mencecah lebih RM1.9 juta
Saya juga ingin berterima kasih kepada semua individu yang terlibat kerana turut sama membantu dan menjayakan usaha murni dan mulia ini,” katanya.
Beliau yang ditemui media kemudiannya memberitahu, pihaknya akan menghantar wakil ke Ipoh bagi sesi penerangan dan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk)..
Mengenai wang lebihan lebih RM 500,000 pihaknya berharap ia dapat digunakan untuk proses atau pengurusan jual beli tanah, selebihnya untuk aktiviti pertanian dan hasilnya nanti kita masukkan dalam tabung untuk perjalanan masjid ini.
Bagaimanapun masjid akan merujuk perkara itu dengan MAIPk terlebih dahulu sama ada boleh digunakan atau tidak.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak RM 1.8 juta diperlukan bagi menyelamatkan tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di sini yang sebahagian tanah berkenaan kini dimiliki oleh individu bukan Islam.
Ia berpunca apabila tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.
Nnnn
