Pritam Singh kekal Ketua Pembangkang

SINGAPURA 5 Mei –  Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP),  Pritam Singh, akan kekal sebagai Ketua Pembangkang dengan kakitangan dan sumber untuk menjalankan tugasnya, kata Perdana Menteri, Lawrence Wong.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Wong memberitahu, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Pritam.

“WP telah menampilkan barisan calon yang kuat, dan memberikan persaingan yang sengit dalam pilihan raya ini, serta meningkatkan kehadiran parti di Parlimen,” kata Wong, yang sedia menanti sumbangan wakil WP di Parlimen nanti.

Pada PRU lalu, WP kekal memenangi 10 kerusi sama seperti pencapaian pada tahun 2020 dan akan turut mendapat dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) di Parlimen ke-15 Singapura.

Jawatan sebagai Ketua Pembangkang diperkenalkan buat julung kali dalam sejarah politik Singapura selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2020 oleh Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong.

Sebagai Ketua Pembangkang, Pritam, 48 mengetuai pihak pembangkang dalam membentangkan pandangan alternatif ketika perbahasan Parlimen mengenai dasar, rang undang-undang dan usul.

Beliau juga mengetuai dan merancang penelitian terhadap kedudukan dan tindakan pemerintah semasa di Parlimen.

Pritam yang juga Setiausaha Agung WP mengetuai pasukan GRC Aljunied yang turut dianggotai Pengerusi WP, Sylvia Lim, 60; Gerald Giam, 47; muka baharu , Kenneth Tiong, 36; dan Fadli Fawzi, 44.

Pasukan itu menang sebanyak 59.68 peratus, mengalahkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terdiri daripada calon kali kedua, Chan Hui Yuh, 48; Dr Faisal Abdul Aziz, 37;  Adrian Ang, 42;  Daniel Liu, 40; dan Jagathishwaran Rajo, 37.

WP juga berjaya mengekalkan kedudukan di GRC Sengkang dengan peratusan undi 56.31 peratus, iaitu sekitar 4 mata peratusan lebih tinggi dari 52.12 peratus undi yang diterima mereka pada 2020.

Pasukan ini diwakili dan Abdul Muhaimin Abdul Malik, He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Louis Chua.

WP juga menerima  62.17 peratus di SMC Hougang manakala di kawasan baharu, parti itu mendapat undi melebihi 40 peratus iaitu di GRC Punggol, East Coast dan Tampines, serta SMC Jalan Kayu dan Tampines Changkat.

Walaupun tewas di SMC Jalan Kayu dengan peratusan undi 48.53 peratus dan di GRC Tampines dengan 47.37 peratus, parti itu akan turut mendapat dua kerusi NCMP.

(Foto fb Pritam Singh)

.nnnn

Related posts

Leave a Comment