6 strategi stabilkan ekonomi

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengatur enam strategi bagi memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka pendek serta sederhana, dalam mendepani senario global semasa termasuk impak tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS), kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, berkata strategi pertama, selain penyelarasan dasar berkaitan perdagangan melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC), kerajaan juga memantau petunjuk utama ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman.

Ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata bagi strategi kedua, rundingan penyelesaian tarif timbal balas dengan AS akan diteruskan dan menambah baik hubungan perdagangan serta pelaburan dua hala.

Katanya strategi ketiga adalah membantu pengeksport terjejas khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala keempat, menggalakkan kerjasama serantau serta pasaran baharu.

Anwar berkata, strategi kelima pula ialah mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan kerajaan termasuk untuk pelaburan serta yang terakhir, meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi Madani terutama dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, asas ekonomi yang kukuh meletakkan Malaysia dalam keadaan terkawal bagi menangani sebarang kejutan luaran dan cabaran kitaran ekonomi.

Beliau berkata, usaha berterusan dalam membina daya tahan ekonomi domestik membolehkan negara mencapai kestabilan ekonomi dengan ruang fiskal yang mencukupi serta membantu negara berdepan sebarang krisis ekonomi dan kewangan.

“Kerajaan yakin maklum balas dasar yang berasaskan data dan terancang berupaya menangani ketidaktentuan semasa. Mekanisme pemantauan sudah diaktifkan dan tindakan bersasar akan dilaksana mengikut keperluan bagi membantu rakyat serta perniagaan yang terjejas,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia tidak dapat mengelak daripada tempias pergolakan geopolitik melalui perang perdagangan antara ekonomi besar dunia.

“Di sebalik cabaran ini, ia memberi kita peluang baharu untuk mewujudkan jalinan kerjasama ekonomi yang lebih erat pada peringkat ASEAN serta rakan dagangan utama yang lain.

“Dalam titik bersejarah ini, kita seharusnya mengetepikan perbezaan antara kita dan bersatu hati menghadapi cabaran semasa.

“Justeru, kerajaan akan terus mempergiat pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI dengan tumpuan memperkukuh daya saing, mensejahtera rakyat dan meningkatkan kemampanan fiskal.

“Hanya dengan pendekatan ini, kita berupaya membawa Malaysia kekal berada di landasan mampan dan berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga memilih untuk berunding secara berprinsip, demi mempertahankan pekerjaan rakyat, pelaburan masa hadapan dan kedaulatan ekonomi negara.

“Kita tidak memilih jalan mudah. Kita tidak menyerah kepada tekanan. Dengan izin Allah dan sokongan rakyat, Malaysia akan terus melangkah gagah sebagai negara bermaruah, berdaya saing dan progresif di pentas dunia.

“Inilah erti kepemimpinan sebenar, bukan dengan retorik, tetapi dengan keputusan strategik yang berani dan berpaksikan kepentingan negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment