SEPANG 4 Mei – MCA dan DAP bagaikan minyak dan air yang tidak memungkinkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dibubarkan seterusnya menyertai DAP seperti yang disarankan oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, MCA parti moderat yang mengamalkan kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian, bukannya ekstrem yang tergamak menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan.
“Kami tak sanggup nak gelar penyatuan ummah menerusi kerjasama UMNO Pas sebagai ‘isyarat perang ke atas bukan Islam atau bukan Melayu’, mahupun menyifatkan ia sebagai ‘negara Taliban’.
Kami tak sanggup nak karang buku propaganda dengan menaikkan imej mahupun mempromosikan ideologi komunis.
MCA adalah parti yang berjuang bersama UMNO menuntut kemerdekaan negara dan semangat Barisan Nasional yang patriotik kepada Malaysia masih didokong sehingga kini,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN berkata, Zhemin ahli Parlimen DAP itu tidak layak memberi komen tentang BN kerana DAP bukan parti komponen BN.
“Zhemin kata MCA bukan lagi mewakili masyarakat Cina. Saya cabar Zhemin beritahu orang Cina, sama ada janji DAP untuk iktiraf UEC sudah dilaksanakan atau belum, setelah lebih dua tahun menjadi kerajaan? Adakah janji untuk pajakan tanah 999 tahun sudah ditunaikan atau tidak?
Sebelum Zhemin kritik MCA, apa kata kamu jawab dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian Online hari ini yang bertajuk ‘Desak gugur perjuangan Islam punca Pas tinggalkan DAP’,” katanya.
Terdahulu, Zhemin, berkata, bukan UMNO yang patut dibubarkan, sebaliknya MCA yang harus menyerahkan dua kerusinya kepada UMNO dan menyertai DAP.
Ahli parlimen DAP itu berkata, cadangan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin agar UMNO dibubarkan dan diserap ke dalam Bersatu sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA.
“Hari ini, MCA hanya tinggal dua kerusi Parlimen dan kedua-duanya terletak di kawasan majoriti pengundi Melayu. Hakikatnya, MCA hanya menang kerana undi daripada penyokong UMNO.
“MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina. Jadi saya menyeru MCA supaya serahkan kembali dua kerusi tersebut kepada UMNO dan ambil langkah berani untuk bubar parti serta menyertai DAP, demi masa depan negara dan perjuangan nilai kemajmukan, keadilan dan kemajuan,” katanya dalam kenyataan.
Nnnn