Lebih 1.4 juta pulang ke Syria

LONDON – Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) melaporkan lebih 1.4 juta rakyat Syria pulang ke negara mereka sejak kejatuhan rejim Bashar Assad pada Disember lalu.

Menerusi satu hantaran di platform X, UNHCR menyatakan bagi rakyat Syria yang kembali ke kediaman mereka berkata, ‘harapan itu nyata, tetapi usaha membina semula tidak mudah’.

Sebahagian daripada mereka yang pulang telah menjadi pelarian sejak perang saudara tercetus di negara itu pada 2011.

Justeru agensi  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut merayu sokongan antarabangsa bagi membantu keluarga Syria memulakan kehidupan baharu.

“Mereka memerlukan sokongan untuk membina semula rumah dan infrastruktur, kesedaran keselamatan terhadap periuk api, bantuan undang-undang dan sokongan kesihatan mental,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang perang saudara, Turkiye menjadi tuan rumah kepada kira-kira empat juta rakyat Syria, lebih banyak daripada mana-mana negara lain di dunia.

Bashar, yang memimpin Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Russia selepas kumpulan anti rejim menguasai Damsyik pada 8 Disember dan kejatuhannya  menamatkan pemerintahan Parti Ba’ath yang bermula sejak 1963.

Related posts

Leave a Comment