PRK Chini : Jangan pula ada calon ‘payung terjun‘

ELOKLAH Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak meletakkan calon bagi Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini awal bulan depan. Bukan sahaja keputusan itu disambut baik tetapi sepatutnya awal-awal lagi PKR mengambil pendirian yang sama sekiranya alasan yang diberi adalah kerana wabak Covid-19.

Biarkan saja Barisan Nasional (BN) menang percuma dan meneruskan kerja untuk rakyat. Lainlah jika kemenangan PKR boleh meruntuhkan kerajaan BN Pahang.

Diharapkan tidak ada mana-mana calon ‘payung terjun’ yang cuba ‘terjun’ di kawasan itu semata-mata mahu ‘menghidupkan demokrasi’ serta ‘mengganggu’ tumpuan BN dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bimbang calon payung terjun itu tersangkut di pokok atau jatuh tenggelam ke dalam tasik.

Ingatlah kos yang bakal terbuang dan tidak berbaloi sekadar merebut satu kerusi, bukannya satu negeri.

Justeru keputusan yang diumumkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini amat dialu-alukan. Keputusan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) itu mengambil kira penularan wabak Covid-19 yang belum dapat ditangani sepenuhnya di negara ini.

“Aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi masih menjadi satu kerisauan. PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya,” katanya.

Itu alasan PH tidak bertanding yang boleh diterima. Alasan lain sama ada tersurat atau tersirat biarlah tersimpan di pejabat PH. Pastinya ada alasan lain yang lebih mewajarkan PKR tidak perlu menawarkan diri untuk bertanding.

Mungkin adalah lebih baik PH menumpukan kepada usaha yang dilakukan sekarang untuk ‘merampas’ kembali kerajaan Persekutuan setelah PH melangkah kaki ‘meninggalkan’ Putrajaya selepas 22 bulan di sana apabila Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kedudukan kerajaan Persekutuan adalah lebih penting. Putrajaya lebih bermakna berbanding Pekan di mana Chini berada di kawasan Parlimen diwakili Najib Razak.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh berkata, PH tidak akan membenarkan sama sekali BN mewakili Perikatan Nasional (PN) menang secara percuma pada PRK Chini, Pekan pada 4 Julai depan.

Kemudian beliau dilaporkan berkata, PKR akan mewakili PH sekiranya gabungan itu bertanding dan tinjauan lapangan menunjukkan PH mendapat maklum balas positif untuk bertanding bagi mencabar BN.

PRK Chini akan diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Melihat kepada rekod pencapaian itu, penyertaan PKR atau mana-mana parti untuk mencabar BN tidak membawa sebarang kesan sebaliknya hanya membazirkan  wang dan mungkin mewujudkan kluster Covid-19 PRK Chini.

Saya pernah menulis mengenai isu ini sama ada kemungkinan PRK Chini akan memberi kemenangan percuma kepada BN dan jika berlaku, RM4.3 juta bakal diselamatkan. Dan membimbangkan jika wujud kkuster PRK Chini.

(Lihat bebasnews.my tajuk Semoga tidak ada kluster PRK jika PKR bertanding).

PRK ini boleh dielakkan dengan memberi laluan kepada BN mempertahankan kerusi itu yang secara tidak langsung bukan sahaja akan menyelamatkan wang kerajaan tetapi juga wang parti politik. Pada masa yang sama apa yang lebih penting bagi menjaga kesihatan penduduk serta orang politik dari luar kerana dibimbangi PRK boleh mencetuskan rantaian Covid-19.

Perlu diingat, menang atau kalah tidak memberi sebarang kesan kepada mana-mana pihak kerana kedudukan kerusi sekarang adalah BN menguasai 25, sekarang 24 daripada 42 kerusi , PH 9 (DAP 7 PKR 2) dan Pas 8. Berikutan kewujudan Muafakat Nasional, kedudkan BN semakin kukuh.

Justeru, tidak ada makna jika PH menyertai PRK ini semata-mata mahu menunjukkan ‘kekuatan’ sekalipun kerusi Chini itu milik PH. Bukan sahaja masa dan ketika yang tidak sesuai ketika wabak Covid-19 tetapi juga menang dan kalah satu kerusi itu tidak memberi sebarang kesan terhadap pentadbiran kerajaan.

Lainlah jika ia berlaku di Johor, Melaka, Kedah atau Perak.

Related posts

Leave a Comment