Turkiye sependapat dengan Afrika Selatan

GENEVA – Turkiye mendakwa Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata terhadap orang awam di Gaza sambil mengkritik kegagalan masyarakat antarabangsa menghentikan keganasan dan melindungi nyawa tidak bersalah.

Timbalan Menteri Luar Turkiye Nuh Yılmaz ketika bercakap pada sesi pendengaran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkata masyarakat antarabangsa ‘telah gagal dengan ketara’ dalam menghentikan pencerobohan Israel.

Pandangan itu senada dengan kenyataan Afrika Selatan sebelum ini yang mendakwa Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap rakyat Palestin di wilayah didudukinya, sekali gus melanggar kewajipan antarabangsa.

Yılmaz berkata Turkiye hadir di mahkamah bagi membangkitkan ‘pelanggaran berterusan Israel terhadap kewajipan antarabangsa’, sambil menyifatkan perang berskala luar biasa sedang dilancarkan terhadap orang awam di Gaza, selain keganasan turut merebak ke Tebing Barat dan negara jiran.

Beliau mendakwa Israel melaksanakan hukuman kolektif serta ‘menggunakan kelaparan sebagai senjata’, dengan merujuk kepada penutupan lintasan masuk ke Gaza dan halangan terhadap bekalan penting sejak 2 Mac.

Apabila tiada undang-undang dikuatkuasa untuk menghalang Israel, maka akan wujud kekacauan, anarki dan pembunuhan besar-besaran yang menyamai genosid di Gaza,” katanya.

Pada masa sama, Turkiye turut mengecam serangan Israel ke atas Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dan tindakan menangguhkan operasi agensi itu.

Ia disifatkan sebagai pelanggaran terhadap langkah sementara ICJ dan satu bentuk pemusnahan terhadap rakyat Palestin sebagai kumpulan yang dilindungi.

Yılmaz turut memetik kes pembunuhan sukarelawan kemanusiaan Turkiye-Amerika Syarikat (AS), Aysenur Ezgi Eygi, ketika menyertai tunjuk perasaan aman di Tebing Barat, sambil memberi amaran bahawa keadaan kekal berbahaya bagi petugas bantuan di lapangan.

Turkiye meminta ICJ mengeluarkan pendapat nasihat yang menegaskan semula kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, sekali gus membuka jalan ke arah keadilan, keamanan dan keselamatan untuk rakyat Palestin dan Israel.

Related posts

Leave a Comment