Dulu kalah, kini menang

KUALA LUMPUR 1 Mei  – Pengundian semula pemilihan PKR melibatkan Cabang Selayang di Selangor, Jempol di Negeri Sembilan dan Pasir Salak di Perak menyaksikan perubahan keputusan berbanding sebelumnya.

Bagi Ketua Cabang Selayang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dipilih selain Manivanan Gowin yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR menang di Jempol dan Hisamuddin Ali pula di Pasir Salak.

Berdasarkan pengumuman di laman sesawang Pemilihan 2025 PKR, Wei Kiat menang jawatan Ketua Cabang Selayang dengan 1,945 undi, mengatasi Wan Ibnul Bahar Wan Ismail dengan 1,693 undi.

Seorang lagi calon diumumkan hilang kelayakan bertanding.

Keputusan pemilihan sebelum ini menyaksikan Wei Kiat yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR tewas dalam pertembungan tiga penjuru.

Bagi jawatan Ketua Cabang Jempol, Manivanan meraih 571 undi, mengenepikan dua pesaing iaitu Muhammad Asri Abdullah yang memperoleh 229 undi dan dan K Mariappan dengan 52 undi.

Pada pemilihan peringkat Ketua Cabang PKR Jempol 13 April lalu, Azizah Salim Shah diumum menang selepas meraih 450 undi. Bagaimanapun kemenangan itu dibatalkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) selepas mendapati beliau masih ahli Pejuang ketika memenangi jawatan itu.

Di Pasir Salak, kejutan berlaku apabila jawatan Ketua Cabang yang dimenangi Mohamad Yusof Majid sebelum ini ‘dirampas’ Hisamuddin.

Pemilihan semula hari ini menunjukkan Hisamuddin meraih 944 undi, menewaskan Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, Mohamad Maharani Md Tasi yang memperoleh 677 undian.

Related posts

Leave a Comment