Perkembangan positif penularan Covid-19

PUTRAJAYA 30 Mei – Kes penularan Covid-19 di negara ini menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan termasuk hospital mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 21/2022 iaitu antara 22 hingga 28 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes positif Covid-19 yang dipantau di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), ia turut menunjukkan penurunan.

“Secara keseluruhannya, bilangan kedatangan pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), menurun sebanyak 5.1 peratus; bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 6.5 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital menunjukkan penurunan ketara iaitu, 46.6 peratus.

“Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 21/2022 ia turun 8.8 peratus berbanding pada akhir ME 20/2022 iaitu dari 24,647 kes kepada 22,475 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Tambah Dr Noor Hisham, untuk perbandingan kes antara ME 21/2022 dengan minggu sebelumnya, beliau berkata, bilangan kes sembuh pada ME 21/2022 meningkat sebanyak 4.2 peratus iaitu 15,278 kes kepada 15,925 kes berbanding minggu sebelumnya.

“Bilangan kes baharu pada ME 21/2022 menurun sebanyak 4.1 peratus (13,630 kes kepada 13,076 kes) berbanding ME 20/2022; bilangan kes tempatan menurun sebanyak 4.4 peratus (13,615 kes kepada 13,022 kes) dan bilangan kes import meningkat sebanyak 260 peratus (15 kes kepada 54 kes).

“Selain itu, bilangan kes kematian pada ME 21/2022 menunjukkan penurunan kepada 34.5 peratus (29 kes kepada 19 kes) dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 21/2022 adalah 25,360, iaitu terdapat penurunan sebanyak 15.1 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) membabitkan kes Covid-19, Dr Noor Hisham memaklumkan, hasil survelan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati terdapat sedikit peningkatan.

“Kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 meningkat sebanyak 102.4 peratus iaitu 4.1 peratus pada ME 20/2022 kepada 8.3 peratus pada ME 21/2022.

“Manakala, kadar positif sampel SARICOVID-19 pada ME 21/2022 meningkat sebanyak 62.5 peratus iaitu 2.6 peratus berbanding 1.6 peratus pada ME 20/2022,” katanya.

Related posts

Leave a Comment