GENEVA – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diberitahu bahawa Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap rakyat Palestin di wilayah didudukinya, sekali gus melanggar kewajipan antarabangsa.
Afrika Selatan melalui wakilnya Jaymion Hendricks berkata, undang-undang antarabangsa melarang Israel daripada menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan.
“Sekalipun di bawah kepungan atau sekatan, Israel tidak boleh menghukum secara kolektif rakyat Palestin yang dilindungi di bawah pendudukan haramnya,” katanya pada hari kedua pendengaran awam di The Hague.
Hendricks berkata Israel menggunakan sepenuhnya teknik kebuluran, mengawal tahap penderitaan dan kematian akibat sistem makanan, hingga ke tahap genosid.
Walaupun terdapat cubaan mengerikan oleh pegawai Israel untuk menggambarkan sebaliknya, rakyat Palestin juga adalah manusia,” katanya.
Beliau menegaskan yang Israel perlu bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara ikhlas dan memberikan segala bantuan yang diperlukan.
Ia juga mesti memenuhi tanggungjawabnya sebagai kuasa pendudukan untuk memastikan bekalan makanan dan perubatan, serta memudahkan bantuan kemanusiaan, perkhidmatan asas dan pembangunan yang disalurkan oleh PBB, negara ketiga dan pertubuhan antarabangsa lain.
Hendricks turut menegaskan yang Israel mesti ‘menghentikan permusuhan sepenuhnya’ dan ‘segera menarik balik keputusan untuk mengusir Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta agensi PBB lain daripada melaksanakan mandat mereka’.
Beliau turut menyeru PBB ‘menuntut dan berunding untuk menghapuskan halangan yang dikenakan oleh Israel’ dan ‘terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin’ meskipun terdapat sekatan Israel.
Negara ketiga juga, katanya, ‘mempunyai kewajipan untuk tidak mengiktiraf tindakan salah Israel di peringkat antarabangsa, termasuk pengharaman terhadap UNRWA… bekerjasama untuk menamatkan tindakan itu dan menghentikan penyaluran senjata kepada Israel.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Zane Dangor, memberitahu mahkamah bahawa: “Sistem bantuan kemanusiaan kini berada di ambang kehancuran. Kehancuran ini disengajakan.”
