Lebih 1.54 juta guna rel, bas 31 Dis.

KUALA LUMPUR 2 Jan. -;Lebih 1.54 juta perjalanan penumpang perkhidmatan rel dan bas direkodkan pada 31 Disember lalu,  pencapaian tertinggi dalam sejarah pengendali perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan dalam kenyataan hari ini, berkata jumlah itu meningkat 0.76 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Berdasarkan rekod, jumlah pengguna perkhidmatan rel pada tarikh itu ialah sebanyak 1.29 juta penumpang manakala perkhidmatan bas termasuk Rapid On-Demand (ROD) merekodkan 251,737 penumpang.

“Kecekapan koordinasi dan pengurusan kawalan orang ramai yang digerakkan kira-kira 3,000 anggota barisan hadapan Rapid KL di Lembah Klang berjaya memastikan pengguna rel dan bas menikmati perjalanan yang lancar, selamat dan selesa sepanjang sambutan ambang Tahun Baharu 2026.

“Keberkesanan penyelarasan operasi di lapangan membolehkan perkhidmatan Rapid KL beroperasi dengan lancar walaupun berdepan lonjakan penumpang yang tinggi di beberapa lokasi tumpuan sambutan,” katanya.

Sementara itu bagi perkhidmatan rel, laluan Kajang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 396,141 penumpang, diikuti laluan Kelana Jaya (321,381 penumpang);

Ampang/Sri Petaling (246,885 penumpang), Putrajaya (234,158 penumpang) dan

Monorel (90,748 penumpang).

Jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan bas termasuk ROD yang merangkumi Rapid KL ialah sebanyak 183,944 orang, Rapid Penang (48,002 orang) dan BRT Sunway (19,791 orang).

“Kejayaan mengendalikan operasi berskala besar ini membuktikan tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme petugas Rapid KL dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dapat diurus secara berkesan, selamat dan selesa walaupun dalam situasi operasi mencabar,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal pergerakan trafik serta penguatkuasaan terhadap laluan bas turut membantu memastikan perkhidmatan bas beroperasi mengikut jadual meskipun keadaan trafik sangat sesak di sekitar pusat bandar.

Begitu juga koordinasi menyeluruh antara Pasukan Polis Bantuan Prasarana bersama-sama penganjur acara dan pasukan keselamatan pusat beli-belah utama turut memainkan peranan penting dalam mengurus aliran penumpang serta memastikan tahap keselamatan orang ramai sentiasa berada pada tahap optimum.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment