Rauf anggap audio mainan politik

KUALA LUMPUR  30 April – Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa penyebaran beberapa audio mirip suaranya yang tular di media sosial sebagai permainan politik untuk menjejaskan karakter beliau.

Sambil mendakwa beliau mengetahui dalang di sebalik penyebaran audio itu, Rauf
menegaskan, tidak terkesan dengan permainan seumpama itu, dan tidak perlu untuk mengambil tindakan seperti membuat laporan polis.

“Kenapa pula saya nak buat laporan polis? Saya tidak ambil itu sebagai sesuatu yang memfitnah atau memburukkan nama saya. Siapa buat, dia tanggung sajalah.

“Saya anggap ini satu permainan politik untuk menjejaskan karakter saya sebagai seorang Ketua Menteri. Saya memang tahu siapa watak di belakang perancangan ini, biarkan dia nak buat.

“Bagi saya, saya tidak perlu rasa bersalah pun sebab tak menjurus kepada apa yang mereka tuduh. Silakan dan teruskan untuk berkarya dalam sandiwara ini,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas berucap pada program Bicara Tokoh dan Majlis Perasmian Penutup Program Karisma Pemikir MADANI Siri II, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular audio berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial, yang didakwa suara mirip Ab Rauf, sehari selepas Ab Rauf menafikan beliau ada kaitan dalam penahanan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 April lalu, berhubung dakwaan rasuah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, baru-baru ini dilaporkan menggesa Ab Rauf membuat laporan polis jika beliau tiada kaitan dengan rakaman audio berkenaan.

Semalam, Ab Rauf menyifatkan penyebaran audio berkenaan sebagai perbuatan golongan yang kecewa dan beliau sudah biasa dengan drama permainan politik yang semata-mata untuk meraih simpati.

Katanya, fitnah yang dilakukan golongan kecewa itu sudah pasti untuk menjatuhkan karakter seseorang pemimpin supaya tidak layak untuk menjadi mentadbir dan pemimpin negeri.

“Saya nak beritahu saya dah jemu dengan sandiwara-sandiwara ini, saya yakin ada 30 siri (audio) lagi dia cuba nak menjatuhkan imej Ketua Menteri ini.

“Tetapi saya nak beritahu bahawa dalam Melaka kita sudah masak sangat dengan agenda yang dimainkan pemain-pemain politik yang kecewa,” katanya selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri.

Sementara itu, Mohamad Ali dijadualkan mengadakan satu sidang media dan membuat laporan polis berhubung isu ini esok.

Melalui satu hantaran di Facebooknya, beliau berharap perkara ini dapat diselesaikan awal supaya dapat memberi fokus kepada isu-isu rakyat dan persatuan di bawah seliaannya kerana ia jauh lebih penting.

Nnn

Related posts

Leave a Comment