Sokong MCA tentukan masa depan sendiri

SEPANG 29 April – Gesaan supaya MCA menentukan masa depannya sendiri adalah luahan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli parti dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik dalam gabungan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda MCA Kelantan Chan Rui Yih berkata, ia bukan ancaman, tetapi satu seruan kepada semua dalam BN agar bermuhasabah, menyesuaikan diri, dan membina semula kekuatan gabungan ini.

“Kesatuan tidak bermaksud berdiam diri, dan kesetiaan tidak seharusnya menuntut keacuhan. Kita harus ingat, sebuah gabungan pelbagai kaum seperti BN hanya akan kekal kuat jika ia mampu mendengar, berubah, dan memimpin bersama,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon yang menggesa parti itu untuk menentukan masa depannya sendiri jika BN terus menangguhkan keputusan yang jelas mengenai hala tuju mereka.

Bercakap pada pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang 2025 malam semalam, Chong berkata MCA memberi BN lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas PRU15, tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam keputusan BN menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.

“Jika BN masih gagal memberikan arah tujuan yang jelas, MCA perlu mengambil inisiatif untuk menentukan haluan mereka sendiri,” katanya seperti dilapor Sin Chew Daily.

Chong mencadangkan mesyuarat bahagian MCA di seluruh negara pada Jun ini memberi keutamaan kepada perbincangan mengenai masa depan parti, mengumpul pendapat akar umbi yang akan dipersembahkan kepada kepimpinan pusat.

Sementara itu Rui Yih yang menyokong  gesaan itu berkata, MCA sentiasa percaya kepada model pelbagai kaum yang dibawa oleh BN dan parti itu kekal komited terhadap semangat kerjasama dan perpaduan yang suatu ketika dahulu menjadikan BN sebuah gabungan yang kuat serta efektif.

“Namun, komitmen memerlukan hala tuju yang jelas, strategi bersama, dan rasa tanggungjawab kolektif.

Selepas lebih dua tahun pasca PRU15, persoalan yang timbul di kalangan ahli kami adalah “Ke manakah hala tuju BN? Apakah peranan sebenar MCA dalam kerajaan perpaduan ini?” Apakah mesej yang ingin kita sampaikan kepada rakyat?,” katanya.

Beliau mengakui UMNO sedang melalui cabaran tersendiri, namun MCA juga mengalami keadaan tersisih di peringkat negeri dan pusat, terutamanya hampir tiada penglibatan dalam proses membuat keputusan BN bahkan kerajaan.

Katanya, kebimbangan ini bukan sekadar berkisar kepada kedudukan politik, tetapi mencerminkan kegusaran terhadap soal keberkesanan, hubungan dengan komuniti, dan keperluan untuk bergerak ke hadapan secara berstrategi.

“Oleh itu, saya setuju bahawa MCA perlu mempertimbangkan untuk menentukan haluannya sendiri sekiranya BN terus gagal memberi kejelasan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment