ISLAMABAD – Pakistan bersedia mempertahankan negara itu susulan serangan maut di Kashmir yang ditadbir India, yang menyaksikan 26 pelancong dibunuh pengganas 22 April lalu, di Pahalgam, Kashmir.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, jugq menggesa siasatan pemulihan dijalankan, selepas India menuduh negara itu menyokong keganasan rentas sempadan.
“Angkatan tentera kita berani, kekal berupaya dan bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kedaulatan negara,” kata Sharif ketika berucap dalam satu majlis ketenteraan di Abbottabad.
Serangan berkenaan adalah serangan terburuk ke atas orang awam di wilayah majoriti Islam itu dalam tempoh 25 tahun.
Tentera India dalam kenyataan berkata, kedua-dua negara sudah mengambil pelbagai langkah diplomatik, manakala tentera India dan Pakistan dilaporkan bertempur dengan tembakan senjata kecil di sempadan Kashmir untuk dua malam berturut-turut.
Katanya, tembakan kecil tanpa provokasi dilakukan oleh beberapa pos tentera Pakistan pada waktu malam dan pasukan India bertindak balas sewajarnya dengan senjata kecil, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tiada pengesahan segera daripada pihak Pakistan, namun kedua-dua negara sebelum ini mengesahkan berlaku kejadian tembak-menembak pada malam sebelumnya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kedua-dua negara berkenaan, yang pernah berperang beberapa kali sebelum ini, supaya menunjukkan ‘tahap kesabaran dan kawalan maksimum’.
