PORT DICKSON 27 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan kadar keluar mengundi, sekali gus mencerminkan kehendak sebenar pengundi dalam sesuatu kawasan pilihan raya.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setiap kali PRK diadakan, peratusan keluar mengundi sangat rendah sehingga ada yang mencecah sehingga kurang 50 peratus.
“Sebagai contoh, semalam peratus keluar mengundi hanya 58.9 peratus. Ini menunjukkan kadar penyertaan yang rendah, malah dalam beberapa PRK sebelum ini, peratusannya pernah mencecah kurang 50 peratus,” katanya.
Katanya, peratusan rendah itu juga menyumbang kepada kekalahan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, semalam.
Beliau juga pada masa yang sama menolak dakwaan isu kandang babi menjadi antara punca kekalahan parti, sebaliknya menegaskan isu berkenaan adalah perkara sebenar yang dibangkitkan penduduk setempat.
Bercakap ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Lukut, di sini, hari ini Tuan Ibrahim berkata, Pas tetap berpuas hati dengan prestasi parti dalam PRK di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama,
“Pas masih berjaya mengekalkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya sebelum ini. Malah, sokongan bukan Melayu terhadap parti juga dilihat semakin meningkat di kawasan-kawasan yang saya lawati.
“Secara keseluruhannya, kita masih menerima sokongan rakyat dan berjaya mengekalkan undi yang diperoleh PN sebelum ini.
“Kebiasaannya, dalam PRK, jumlah undi pembangkang akan merosot disebabkan kehadiran pelbagai jentera kerajaan sepanjang kempen. Namun, Alhamdulillah, kita masih mampu bertahan walaupun belum mencapai kemenangan,” katanya.
Tuan Ibrahim mendakwa terdapat penjawat awam tidak berani menyatakan sokongan kepada Pas secara terbuka termasuk menerusi undi awal.
“Dari segi gerak kerja, jentera kita dari seluruh negara turun padang dan bekerja bersungguh-sungguh. Strategi kempen juga tertumpu kepada beberapa isu tempatan yang mendapat maklum balas positif daripada pengundi.
“Namun, sebahagian penjawat awam tidak berani menzahirkan sokongan secara terbuka, dan perkara itu dapat dilihat menerusi keputusan undi awal. Kita memahami situasi itu,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan isu kandang babi bukan membabitkan perkauman atau agama, sebaliknya isu alam sekitar dan kesihatan yang memberi kesan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi keseluruhan menewaskan dua pencabar, iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, dari PN dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS yang memperoleh 1,106 undi
Nnn
