KUALA LUMPUR 21 Jun – Polis menahan seorang lagi individu menjadikan jumlah keseluruhan 14 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap sebuah bank melibatkan kerugian RM24.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata individu yang ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah semalam adalah wanita warga tempatan dan dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang kakitangan bank.
Daripada 14 individu itu, 13 daripada mereka ditahan di sekitar Kota Kinabalu, dan seorang ditangkap di Padang Besar, Perlis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya , setakat ini, hasil siasatan mendapati sindiket ini mula aktif pada awal 2023 dan kesemua suspek menerima wang komisen antara RM100,000 hingga RM240,000 mengikut peranan masing-masing.
“Kita juga percaya dalang utama bagi kes ini adalah individu yang dipercayai pakar dalam membuat pemalsuan dokumen peribadi seperti kad pengenalan serta cap jari bagi proses pengeluaran duit,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.
Beliau mendedahkan satu pasukan siasatan dibentuk bagi menyiasat kegiatan satu sindiket terancang yang membuat pengeluaran wang secara tunai dari akaun simpanan tetap sebuah bank tempatan tanpa kebenaran dan pengetahuan empat pemilik akaun sebenar, tiga daripada pemilik akaun dari Selangor dan satu Perak.
Susulan daripada laporan polis pertama pada 6 Jun 2024, tiga lagi laporan polis lain dibuat berkenaan modus operandi yang sama di mana bagi kes pertama melibatkan pengeluaran RM3.5juta, diikuti RM5.7 juta bagi kes kedua, RM6 juta bagi kes ketiga dan RM9 juta bagi kes keempat.
Daripada empat laporan polis yang diterima, dua dibuat oleh pemilik akaun dan dua oleh pegawai bank yang berkaitan di mana pengeluaran pertama secara tunai di kaunter bank dilakukan sekitar bulan April 2024 disusuli bulan Mei serta Jun 2024.
Melalui pakatan dalaman, pengeluaran wang tersebut berjaya dilakukan dengan mematuhi prosedur pengeluaran wang yang ditetapkan pihak bank menjadikan ia tidak dapat dikesan.
Kegiatan tersebut hanya terbongkar apabila salah seorang daripada empat pemilik akaun yang terjejas hadir ke bank untuk membuat pengemaskinian akaun simpanan tetapnya.
Mohamed Ramli berkata siasatan juga mendapati dalang utama kes turut terlibat membuat perancangan dan melakukan pengeluaran sebanyak lebih RM551,000 dari sebuah bank lain sebelum ini pada awal tahun dan kes tersebut dalam siasatan.
Katanya, setakat ini barangan yang dirampas adalah sembilan kenderaan pelbagai jenis dan jenama, wang tunai RM1.93 juta, telefon bimbit pelbagai jenama, kad ATM, debit dan kredit serta barang kemas dan dokumen dipercayai berkait dengan aktiviti jenayah ini.
Media pada 16 Jun lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang terbabit dalam kes mengeluarkan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.
Penahanan lelaki berusia 40-an di Sabah pada Jumaat lepas itu dibuat setelah polis menahan seorang wanita yang juga kakitangan sebuah bank di Kota Kinabalu pada 13 Jun.
Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.
Nnn
