PBAKL 2025 sasar 1.9 juta pengunjung

KUALA LUMPUR 24 April – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang akan berlangsung mulai 23 Mei hingga 1 Jun ini menyasarkan 1.9 juta pengunjung, kata Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron.

Beliau memberitahu, tahun lalu, sasaran kehadiran adalah 1.5 juta tetapi sepanjang tempoh 10 hari pesta itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, sebanyak 1.8 juta pengunjung direkodkan.

“Saya yakin sasaran 1.9 juta pengunjung pada tahun ini mampu dicapai berdasarkan sambutan oleh pemain industri yang memberangsangkan.

Malah tahun lalu, kita terpaksa membina dewan baharu bagi memenuhi keperluan pemain industri yang semakin meningkat,” katanya pada Majlis Prapelancaran PBAKL 2025 di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini semalam.

Mohd Khair berkata, PBAKL kali ini akan menampilkan 1,113 reruai membabitkan 258 syarikat, termasuk 28 syarikat dari luar negara.

Katanya, pesta itu meneruskan kerjasama dengan platform e-dagang Shopee dan TikTok untuk menggalakkan capaian pembaca dalam talian, selain memberi peluang kepada orang ramai dari luar ibu kota untuk mendapatkan bahan bacaan sama seperti di PBAKL.

Pada PBAKL 2025 kali ini, empat Pavilion Khas disediakan iaitu Pavilion Al-Falah,  gabungan 14 agensi agama, Pavilion Kementerian Pendidikan (KPM), Pavilion Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perpaduan Negara..

Buat kali pertama juga, kali ini turut diadakan Galeri Khas TEROKA iaitu satu elemen baharu yang memberi penghormatan kepada keagungan karya Malaysia serta sejarah pembukuan negara.

Katanya, galeri itu akan menampilkan koleksi karya terkenal penulis Malaysia daripada karya klasik hingga moden yang mencerminkan kepelbagaian budaya, sejarah dan identiti Malaysia.

Sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN, PBAKL 2025 juga akan menonjolkan kerjasama ASEAN dalam industri perbukuan melalui pentas utama.

Katanya, pelbagai aktiviti akan ditampilkan, termasuk perbincangan dan pembentangan kerjasama industri perbukuan negara ASEAN.

Di samping itu Tokoh ASEAN juga akan tampil dalam pelbagai sesi untuk berbincang mengenai kerjasama serantau, pertukaran budaya dan pemerkasaan industri buku di negara anggota ASEAN.

Nnn

Related posts

Leave a Comment